Home » Petikan Akhbar: MAIJ sedia RM386,000 baik pulih, bina 14 rumah baharu di Sungai Balang

Petikan Akhbar: MAIJ sedia RM386,000 baik pulih, bina 14 rumah baharu di Sungai Balang

MUAR 22 April – Sebanyak 14 buah rumah di kawasan Sungai Balang sudah dikenal pasti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk dibaik pulih dan dibina rumah baharu dalam tahun ini dengan kos kira-kira RM386,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail berkata, lapan buah rumah akan dibina baharu dengan kos RM40,000 setiap satu unit manakala selebihnya dibaik pulih dengan kos RM11,000.

“Penerima terdiri daripada golongan miskin terutama yang berpendapatan rendah. Rumah-rumah mereka berada dalam keadaan mendesak, antaranya keadaan bumbung dan lantai sudah bocor serta rumah yang hampir roboh kerana terlalu uzur.

“Terdapat pula rumah hanya berlantaikan tanah dan tidak kurang juga pasangan suami isteri yang masih menumpang rumah ibu bapa mereka sehingga sesak dan tidak selesa dalam satu rumah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Baca Bersama Selama 10 Minit di Kompleks Penghulu Sungai Balang, dekat sini hari ini.

Katanya, 14 buah rumah terpilih itu adalah di Mukim Sri Menanti, Mukim Sungai Balang serta Mukim Sarang Buaya dan penerima terbabit layak menerima bantuan tersebut kerana tidak mampu membeli rumah sendiri.

Menurutnya, kos bina dan baik pilih itu adalah bantuan pertama kerajaan negeri kepada 14 ketua keluarga tersebut yang tidak disenaraikan dalam E-kasih dan tidak pernah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelasnya, bantuan MAINJ itu adalah untuk menjaga kebajikan serta meningkatkan taraf hidup umat Islam di negeri ini dan penerima sebelum ini mendakwa tidak mengetahui cara untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan 18 ketua kampung yang menjaga kira-kira 200 kampung induk dan rangkaian di DUN Sungai Balang agar turun padang melihat keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

Dengan cara itu katanya, masalah penduduk kampung terutama mereka yang miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal dapat ditangani dan dengan cara itu juga kerajaan boleh membela nasib mereka.
Sumber Berita :
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20140423/wj_03/MAINJ-sedia-RM386,000-baik-pulih,-bina-14-rumah-baharu-di-Sungai-Balang#ixzz30ElWyAuP
© Utusan Melayu (M) Bhd