Home » Petikan Akhbar: MAINJ peruntuk RM13.08 juta bantu 30,000 asnaf

Petikan Akhbar: MAINJ peruntuk RM13.08 juta bantu 30,000 asnaf

Abdul Razak Hassan (tengah) menyampaikan peruntukkan kepada salah seorang kadi daerah selepas Taklimat Pengurusan Masjid dan Penyampaian Bantuan Hari Raya, Wang Fidyah dan Insentif Amil Institusi 2014 di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 27 Jun – Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) memperuntukkan RM13.08 juta untuk agihan wang fidyah dan bantuan Hari Raya kepada lebih 30,000 asnaf yang layak di negeri ini tahun ini .

Peruntukan RM10.13 juta akan digunakan untuk agihan bantuan hari raya dan persiapan bulan Ramadan, manakala bakinya, RM2.95 juta pula untuk agihan wang fidyah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Abdul Razak Hassan berkata, jumlah agihan bantuan Hari Raya kali ini bagi ketua keluarga fakir juga akan ditingkatkan kepada RM600 berbanding RM300 sebelumnya.

“Bagi kategori ketua keluarga miskin pula, mereka akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM400 berbanding RM200 sebelum ini.

“Diharapkan penambahan dalam jumlah bantuan kewangan tersebut dapat meringankan beban mereka yang memerlukan bagi menyambut kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya selepas majlis Taklimat Pengurusan Masjid dan Penyampaian Bantuan Hari Raya, Wang Fidyah dan Insentif Amil Institusi 2014, di sini kelmarin.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, Johor Bahru menerima bantuan Hari Raya dan agihan wang fidyah sebanyak RM3.77 juta, manakala Muar (RM1.19 juta) dan Batu Pahat (RM2.42 juta).

Sementara itu, daerah Segamat menerima peruntukan sebanyak RM1 juta, manakala daerah Kluang (RM1.05 juta), Pontian (RM784,410), Kota Tinggi (RM647,760), Mersing (RM778,870), Ledang (RM797,590) dan Kulaijaya (RM616,130).

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak berkata, sambutan pembayar zakat terhadap menerusi potongan gaji bulanan semakin memberangsangkan dan kini menjadi satu trend.

“Semoga perkembangan positif ini berterusan dan lebih ramai masyarakat sedar pentingnya untuk membayar zakat,” katanya.
Sumber,
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20140628/wj_03/MAINJ-peruntuk-RM13.08-juta-bantu-30,000-asnaf#ixzz36Mt3p0dg
© Utusan Melayu (M) Bhd