Home » Petikan Akhbar: Masyarakat perlu bekerjasama bantu Maij

Petikan Akhbar: Masyarakat perlu bekerjasama bantu Maij

PONTIAN – Walaupun jumlah kutipan zakat daerah Pontian bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu mencecah hampir RM3.3 juta, namun jumlah tersebut masih belum mencukupi bagi menampung keperluan penerima zakat yang layak di daerah ini.

Pegawai Kadi Daerah Pontian, Mohd Taufik Shamsuddin berkata, sebanyak RM7 juta diperlukan setiap tahun bagi menampung keperluan pelbagai jenis penerima zakat terdiri daripada bantuan sara hidup, bantuan pendidikan, rawatan dialisis dan bantuan berdikari.

“Maij banyak membantu memberikan peruntukan tambahan memandangkan perbelanjaan yang diagihkan kepada penerima melebihi RM7 juta berbanding jumlah kutipan hanya RM3.3 juta.

“Sehingga Julai tahun ini, seramai 1,010 penerima menerima bantuan tetap bulanan Maij iaitu sara hidup seramai 764 orang, 125 orang bagi bantuan perubatan dan 121 orang bagi rawatan dialisis,” katanya.

Tambahnya lagi, Maij daerah Pontian turut tidak terkecuali membantu mangsa bencana alam seperti banjir dan kebakaran dengan perbelanjaan melebihi RM10,000.

“Pembayaran zakat kepada penerima dibuat melalui bayaran tunai atau akaun bank, bagi penerima sara hidup bantuan antara RM750 sebulan sehingga paling minimun RM 150.

“Permohonan perlu diperbaharui setiap dua tahun sekali bagi memudahkan bantuan disampaikan kepada penerima yang layak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat agar memberikan kerjasama kepada Maij supaya melaporkan kes-kes kemiskinan yang berlaku agar bantuan disalurkan segera.

“Mungkin masyarakat melihat kewujudan golongan miskin di kawasan mereka sebagai faktor utama untuk memberi tanggapan agihan wang zakat tidak telus.

“Justeru, saya sarankan agar  membantu jadi ‘mata dan telinga’ bekerjasama membantu Maij melaporkan kepada pegawai terlibat sekiranya terdapat golongan miskin yang tidak menerima bantuan di kawasan mereka,” katanya.

Katanya, wang zakat yang diterima diagihkan kepada penerima yang layak melalui pembayaran wang bantuan dan bantuan peralatan, perubatan dan sebagainya.

Pegawai Kadi Daerah Pontian, Mohd Taufik Shamsuddin. Gambar Sumber Berita Sinar Harian.


“Jika dilihat pada masa kini, banyak program pengagihan bantuan dilakukan secara terus kepada penerima,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya turut berdepan kesukaran memandangkan masih terdapat masyarakat Islam yang mahu memohon bantuan, namun tidak mahu memberikan kerjasama.

“Sebagai sebuah agensi kerajaan, penyerahan bantuan perlu mempunyai maklumat supaya tidak diselewengkan dan bagi memastikan hanya penerima yang layak sahaja menerima bantuan.

“Justeru, pemohon perlu mengisi borang supaya maklumat dapat diberikan, namun ada yang beranggapan borang sebagai kerenah birokrasi,” katanya.

Katanya, sekiranya masa yang diambil begitu lama bagi kelulusan bantuan, bantuan segera akan diberikan kepada penerima yang layak.

Sehubungan  itu, beliau berharap masyarakat memberikan kerjasama kepada Maij agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

Sumber Berita Sinar Harian,
Artikel Penuh:http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/masyarakat-perlu-jadi-mata-dan-telinga-bantu-maij-1.308589