Home » Petikan Akhbar: Agih zakat pada penerima layak

Petikan Akhbar: Agih zakat pada penerima layak

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menerusi pihak terlibat sentiasa memastikan agihan wang zakat kepada golongan asnaf.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, agihan wang zakat di Johor sememangnya sampai ke ‘tangan’ penerima yang layak.

“Mereka ini dipilh amil yang dilantik, bukan golongan yang mengatakan dirinya sebagai asnaf,” katanya.

Abd Mutalip berkata, ramai mengaku diri tergolong golongan penerima mengikut hukum syarak bagi mendapatkan wang itu.

“Bagaimanapun lepas soal siasat pihaknya mendapati perkara sebaliknya. Sebab itu perlu ada siasatan sebelum agihan.

“Wang zakat ini bukan dari hasil kerajaan negeri, tetapi dari kutipan orang ramai yang mana telah ditentukan ALLAH SWT,” katanya.

Beliau turut mengakui bantuan Majlis Agama Islam Johor (Maij) sememangnya sukar diperoleh kerana ramai orang tidak jujur dalam mengisi borang permohonan.

“Mereka kadang kala menipu dari segi pendapatan, tanggungan dan sebagainya. Sebab kebanyakan kes yang kita kendalikan banyak yang ambil kesempatan.

“Soal memberi bantuan ini, kita amat teliti agar mereka yang benar-benar layak menerimanya,” katanya.

Atas sebab itu, Abd Mutalip memberitahu timbul dakwaan segelintir pihak kononnya terlalu banyak prosedur dan birokrasi sedangkan niat sebenar memastikan zakat sampai kepada penerima layak.

Sumber Berita Sinar Harian,
Artikel Penuh:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/agih-zakat-pada-penerima-layak-1.308585