Home » Petikan Akhbar: Sasar zakat RM230j

Petikan Akhbar: Sasar zakat RM230j

JOHOR BAHRU 10 Jan. – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM230 juta pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak RM211 juta zakat berjaya dikutip tahun lalu, melebihi sasaran ditetapkan iaitu sebanyak RM195 juta.
“Kita percaya dengan pertumbuhan ekonomi yang baik di negeri ini, maka umat Islam yang berniaga akan terus membayar zakat dan MAINJ kemudian akan menentukan pengagihan zakat tersebut mengikut syarat yang ditentukan.

“Kutipan yang diperoleh itu nanti akan kita agih-agihkan kepada golongan asnaf yang layak menerimanya,” katanya selepas menyerahkan sebuah van jenazah sumbangan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk kegunaan Masjid Datuk Haji Abdul Rahim Yunus, Kampung Melayu Pandan di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd. Ghani dan Pengerusi masjid tersebut, Abd. Manan Hamid.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri telah melancarkan Jejak Asnaf pada tahun lalu bagi memastikan zakat disampaikan secara menyeluruh selain mengelakkan golongan yang layak tercicir daripada menerima zakat berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri tahun ini komited untuk meneruskan bantuan kebajikan kepada umat Islam yang tidak berkemampuan termasuk memberikan bantuan perumahan, rumah transit dan pendidikan.

Sementara itu, Yunos dalam ucapannya berkata, penyerahan van jenazah jenis Toyota Hiace berkenaan merupakan salah satu tanggungjawab korporat syarikat berkenaan dan diharap dapat melancarkan pengurusan jenazah di kampung berkenaan.

“Bagi BSN, membayar zakat perniagaan bukan sahaja kerana mengikut hukum Islam semata-mata, bahkan satu daripada tanggungjawab sosial korporat kepada anggota umat Islam khususnya golongan fakir miskin,” katanya.

Sumber Berita lanjut:
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/sasar-zakat-rm230j-1.46510#sthash.1cbBIExA.dpuf