Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md. Rofiki Datuk A. Shamsudin berkata, langkah tersebut merupakan usaha pihaknya untuk mening­katkan keberkesanan sistem pengagihan zakat supaya tidak ada lagi asnaf yang tercicir selepas ini.

“Fungsi amil agihan zakat ini berbeza dengan amil kutipan zakat ke­rana mereka akan turun ke akar umbi mengesan golongan asnaf yang layak terutama di kampung dengan dibantu pemimpin setempat.

“Kita akan lantik amil kutipan zakat sedia ada menjadi amil agihan zakat. Sementara kekosongan jawatan amil kutipan zakat itu pula akan diisikan dengan lantikan baharu,” katanya selepas Program Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah 2015 Peringkat Ledang di Masjid Jamek Tangkak, di sini semalam.

Yang turut hadir Kadi Daerah Ledang, Sheikh Mohd. Zaini Mohd. Salleh; Pegawai Pendidikan Daerah Ledang, Mahmod Sarlan dan Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Sairozi Subakhir.

Dalam majlis itu, Md. Rofiki me­nyampaikan bantuan set baju sekolah kepada 208 pelajar sekolah menengah berjumlah RM33,506, 765 murid sekolah rendah (RM113,678) dan 454 pelajar sekolah agama (RM32,457) di sekitar Ledang.

Md. Rofiki berkata, perlantikan itu dilakukan kerana sebelum ini pihaknya menerima aduan masyarakat mendakwa sistem agihan zakat di negeri ini perlahan malah dalam kes tertentu tidak sampai kepada golongan sasar.

“Langkah ini selaras dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan kutipan zakat tahunan dihabiskan agihannya. Jika dapat RM200 juta setahun maka kena habiskannya dalam tahun itu juga,” katanya.

SEBAHAGIAN murid menerima bantuan pakaian dan keperluan sekolah dalam Program Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah 2015 Peringkat Ledang, Johor, kelmarin. Sumber Gambar – Utusan – See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/mainj-lantik-lebih-100-amil-1.58142#sthash.klr4PuNl.dpuf

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bagi memperkenalkan amil tersebut dan sebagai satu lagi pendekatan memastikan sistem agihan zakat berkesan, MAIJ akan menganjurkan program Kembara Jejak Asnaf Johor.

Menurut beliau, program itu yang dirancang sebelum Ramadan ini akan diadakan seminggu menjelajah ke semua daerah bagi menjejaki asnaf selain mempromosi kepentingan dan keperluan berzakat dalam kalangan masyarakat Islam.

Sumber berita – Utusan Online
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/mainj-lantik-lebih-100-amil-1.58142#sthash.klr4PuNl.dpuf