Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md. Rofiki A. Shamsudin berkata, perbincangan MAINJ dengan pihak Perbadanan Negeri Johor sudah dilakukan dan sedang mengenal pasti bentuk pembangunan bersesuaian yang memberi manfaat besar.

“Kita sudah membuat lawatan ke beberapa tanah wakaf terbabit selain berbincang dengan pihak waris dan membuat tawaran membeli tanah wakaf milik mereka antaranya yang terdapat di Larkin, Nusajaya dan Plentong.

“Sekiranya tanah wakaf yang akan kita beli itu terlalu kecil, kita akan menjualnya semula untuk membeli tapak tanah baharu yang lebih luas untuk kita majukan dengan projek pembangunan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah 2015 Peringkat Ledang di Masjid Jamek Tangkak, di sini kelmarin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya berhasrat mewujudkan Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIJ di setiap daerah untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit buah pinggang terutama yang kurang berkemampuan.

Ketika ini katanya, terdapat tiga pusat hemodialisis milik majlis itu iaitu di Johor Bahru, Skudai dan Batu Pahat diuruskan anak syarikatnya, MAIJ Urus Sdn. Bhd. sementara di daerah ini sahaja RM3.3 juta diperuntukkan tahun lalu untuk rawatan itu menerusi pengagihan zakat melalui asnaf terpilih.

“Perbezaan mereka yang mendapat rawatan di pusat hemodialisis kendalian MAINJ ialah sementara menunggu rawatan, masa mereka akan diisikan dengan ceramah pengisian rohani dan motivasi berbeza dengan di pusat hemodialisis lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM5.5 juta untuk program makanan tambahan bagi 556 pelajar di sekolah agama di negeri ini yang akan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada bulan depan.