Home » Petikan Akhbar : Tetapkan dua kadar zakat fitrah

Petikan Akhbar : Tetapkan dua kadar zakat fitrah

JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dengan pengesahan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1436H/2015M pada dua harga iaitu RM8 dan RM5.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, kadar RM8 adalah bagi umat Islam di negeri ini yang memakan beras gred atau jenis selain daripada super tempatan 15 peratus hancur (beras nasional) pada harga RM2.40 ke atas.

“Kadar RM5 bagi umat Islam di negeri ini, yang memakan beras gred atau jenis daripada super tempatan 15 peratus hancur (beras nasional) sahaja yang berharga RM1.80 sekilogram,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.

Abd Mutalip berkata, seramai 1,605 amil sudah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di seluruh negeri ini.

Katanya, selain daripada itu, amil-amil juga terlibat dengan tugas membanci fakir dan miskin di kariah masing-masing yang kemudiannya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Masjid.

“Pelantikan amil fitrah adalah mengikut kawasan atau kariah di setiap daerah dalam negeri ini, bertujuan memberi kemudahan kepada umat Islam menunaikan zakat fitrah di Johor,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, unjuran fitrah bagi tahun 1436H / 2015M adalah sebanyak RM15.3 juta dengan anggaran seramai 1.9 juta umat Islam di Johor akan membayar zakat fitrah iaitu peningkatan dua peratus daripada tahun sebelumnya.

“Dijangka 97 peratus daripada masyarakat Islam di negeri ini, membayar pada harga RM8 dan hanya tiga peratus membayar pada harga RM5.

“Peningkatan jumlah pembayar fitrah setiap tahun adalah hasil daripada kelahiran baharu dan juga mereka yang berhijrah ke negeri ini, untuk bekerja dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Abd Mutalip menjelaskan sebanyak RM56.3 juta berjaya dipungut bagi semua jenis zakat harta di negeri ini, sehingga bulan Mei lalu.

Beliau berkata, di antara jenis zakat yang menyumbang pungutan tertinggi adalah zakat wang simpanan dengan RM15.4 juta, zakat perniagaan (RM10.9 juta) dan zakat pendapatan RM29.3 juta.

“Berdasarkan prestasi separuh penggal ini, MAINJ optimis untuk mencapai sasaran pungutan sebanyak RM230 juta bagi tahun ini, demi menjamin agihan kepada asnaf yang ditentukan.

“MAINJ yakin dengan kesedaran umat Islam yang semakin meningkat di Johor, sasaran ini akan dapat dicapai,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md Rofiki A Samsudin.

Abd Mutalip berkata, MAINJ sudah mengagihkan zakat sebanyak RM191.4 juta bagi keperluan semua asnaf pada tahun lalu.

Katanya, sehingga Mei lalu pula, MAINJ mengagihkan sebanyak RM103.5 juta untuk keperluan dan aktiviti semua asnaf zakat.

“Antara asnaf yang memerlukan perbelanjaan besar ialah asnaf fakir sebanyak RM18.3 juta, miskin (RM38.2j) dan fisabilillah (RM31.5J).

Sumber Gambar : Sinar Harian

Sumber : Sinar Harian