Home » 719 penuntut terima bantuan

719 penuntut terima bantuan

JOHOR BAHRU 4 Mac – Kerajaan negeri hari ini menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.6 juta kepada 719 penuntut Johor yang akan menyambung semula pengajian mereka di Mesir April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata, peruntukan itu adalah hasil sumbangan kerajaan negeri, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Beliau berkata, para penuntut yang menerima sumbangan tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu persendirian, tajaan YPJ dan MAINJ serta lain-lain tajaan.

“Seramai 570 penuntut persendirian dan tajaan YPJ serta MAINJ akan diberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM2,500 manakala selebihnya diberikan wang saguhati sebanyak RM500.

“Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Negeri kepada Penuntut Johor di Mesir, di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Ali Hassan.

Maulizan berkata, kerajaan negeri juga akan berusaha menyediakan penerbangan khas bagi para penuntut tersebut kembali ke Mesir selepas mengambil kira masalah mendapatkan tiket penerbangan ketika ini kerana ia amat terhad.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan khusus dengan Egypt Airlines untuk penerbangan itu dan ia dijadual berlepas antara 20 hingga 24 Mac ini. Bagaimanapun, ia masih belum dapat diputuskan lagi kerana ada beberapa perkara perlu diperincikan termasuk tempat untuk berlepas.

“Para penuntut yang berminat untuk menyertai penerbangan khas ini hanya perlu membayar sebanyak RM2,000 dan bayaran selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta para penuntut yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan bantuan tersebut supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan ia disalurkan segera.

Beliau berkata, hingga kini kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang perangkaan khas mengenai bilangan yang terlibat dan tidak mahu ada mereka yang tertinggal dalam kes itu.

“Para penuntut yang layak tetapi masih belum mendaftar dinasihatkan untuk segera melakukannya dan sekiranya ada sebarang pertanyaan, mereka boleh menghubungi pihak YPJ,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia,
ARKIB : 05/03/2011