Home » Penuntut bersyukur

Penuntut bersyukur

JOHOR BAHRU 4 Mac – Para penuntut Johor di Mesir melahirkan rasa syukur dengan peruntukan RM1.6 juta yang diberikan kerajaan negeri untuk membolehkan mereka menyambung semula pengajian di negara itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati mereka gembira menerima bantuan itu untuk meringankan bebanan keluarga mereka.

Seorang penuntut jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Salwa Farhana Ismail, 24, berkata, bantuan yang diberikan kerajaan negeri itu dapat meringankan beban mereka yang terpaksa pulang ke tanah air selepas pergolakan politik di negara berkenaan baru-baru ini.

“Selaku penuntut persendirian, sudah tentu saya amat bersyukur kerana bantuan RM2,500 yang diberikan ini kerana kos pengajian di sana bukannya murah,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Negeri kepada Penuntut Johor di Mesir yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini hari ini.

Kerajaan negeri hari ini menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.6 juta kepada 719 penuntut Johor yang akan menyambung semula pengajian mereka di Mesir April ini.

Penuntut jurusan Perubatan Universiti Tanta, Nursyafiqah Izzati, 21, juga terharu dan bersyukur kerana memiliki kerajaan yang begitu prihatin dengan menyumbang RM500 bagi menampung pembiayaan tambang balik ke Mesir.

Menurutnya, jika semua berjalan lancar, dia akan kembali semula ke universiti itu pada 15 Mac ini dan akan memulakan pengajian pada 19 Mac.

Rakannya, Mohd. Firdaus Anna Mohamed, 22, memuji tindakan kerajaan Pusat dan negeri yang tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka.

“Sebelum ini, kerajaan Pusat bertindak pantas membawa kami semua pulang ke tanah air demi keselamatan dan kini diberi bantuan pula oleh kerajaan negeri,” katanya.

Penuntut jurusan Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar cawangan Tanta, Munawwar Abdul Rahman, 23, pula memberitahu, wang bantuan yang diterima itu dapat mengubat kekecewaan selepas terpaksa pulang ke tanah air sehelai sepinggang.

Penuntut tajaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu berkata, ketika kerajaan mengumumkan untuk membawa pulang penuntut Malaysia ke tanah air, dia sedang bercuti di Kaherah dan tidak sempat pulang ke Tanta untuk mengambil barangannya.

“Saya tidak tahu apa yang terjadi terhadap barang-barang berharga di Tanta. Tidak mustahil saya akan kehilangan banyak barang tetapi saya bersyukur kerana kerajaan banyak membantu,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia,
ARKIB : 05/03/2011