Home » Umat Islam perlu bersatu

Umat Islam perlu bersatu

BATU PAHAT 5 Mac – Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menasihatkan umat Islam agar bersatu padu dengan menjadikan masjid sebagai institusi yang memainkan peranan besar dalam pembangunan dan perpaduan masyarakat setempat.

Titah baginda, ini penting kerana perpaduan dan permuafakatan sesama umat menjadi penentu kejayaan sesebuah negara.

“Allah SWT menyuruh kita bersatu padu, jangan berpecah belah kerana ia akan membawa permusuhan dan akhirnya kita menjadi lemah dan tidak berdaya menghadapi cabaran musuh yang mahu menghancurkan negara.

“Menyedari kepentingan itu, kerajaan negeri mengambil berat aspek memakmurkan masjid dengan membina, membaiki dan menambah baik masjid-masjid,” titah Tunku Ismail semasa merasmikan Masjid An-Nur Seri Dayong di Sri Medan, di sini semalam.

Tunku Ismail turut berkenan menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah dengan diimamkan oleh Pengerusi Masjid An-Nur, Maskor Abas.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; barisan Exco kerajaan negeri, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut dan Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Adnan Azizon.

Masjid An-Nur Seri Dayong mula beroperasi pada 8 Oktober 2007 dan telah mengalami beberapa pengubahsuaian dan penambahan dengan kos pembinaan keseluruhan kira-kira RM1.3 juta.

Terletak di atas tanah seluas 0.52 hektar, masjid berkenaan mampu memuatkan kira-kira 700 jemaah pada satu-satu masa serta mempunyai pelbagai kemudahan antaranya perpustakaan, bilik mesyuarat dan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (Taski).

Tunku Mahkota Ismail bertitah, jawatankuasa masjid mesti meneruskan usaha memakmurkan rumah Allah itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang berkualiti dan dapat memupuk perpaduan umat.

“Masyarakat juga sewajarnya menyokong aktiviti tersebut. Kerjasama dua hala ini penting untuk mencapai kejayaan dalam mengimarahkan masjid,” titah baginda.

Sumber: Utusan Malaysia,
ARKIB : 06/03/2011