Home » Lawatan MAIJ, JAIJ cari asnaf zakat

Lawatan MAIJ, JAIJ cari asnaf zakat

MERSING 4 April – Dalam usaha mendekati masyarakat dan meninjau bentuk-bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada golongan asnaf, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah mengadakan lawatan sosial ke rumah-rumah golongan sasaran di daerah ini baru-baru ini.

Kunjungan yang diketuai oleh Pengerusi MAIJ, Datuk Zainal Abidin Osman serta Penolong Pengarah Bahagian Zakat dan Baitulmal, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Azlan Abdullah itu juga diadakan dengan tujuan mendapat gambaran lebih jelas mengenai kehidupan keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan.

“Sebenarnya banyak bentuk bantuan yang boleh dihulurkan, antaranya bantuan berdikari, membina dan membaiki rumah, sara hidup, pendidikan dan perubatan.

“Dengan mengunjungi golongan asnaf ini, selain meninjau sendiri status kedudukan pemohon bantuan zakat, MAIJ dan JAIJ dapat melihat permasalahan mereka dan mencadangkan pemberian bantuan yang sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri memberitahu, bagi tahun lalu kumpulan penerima tertinggi adalah bantuan sara hidup bulanan dan bantuan perubatan terutama skim bantuan hemodialisis yang mana tinjauan secara dekat berjaya mengenal pasti mereka yang layak diberi bantuan skim perumahan Baitulmal dan bantuan berdikari bagi perniagaan.

Seorang nelayan, Mohd. Zuki Abdul Rashid, 42, yang terpaksa menyara 11 orang anak namun hidup menumpang di rumah mertua di Kampung Buluh Betong di sini, adalah antara yang dikenal pasti sebagai mereka yang layak mendapat bantuan.

Sumber: Utusan Malaysia,
ARKIB : 05/04/2011