Home » Zakat: PNKE perlu dijadikan contoh

Zakat: PNKE perlu dijadikan contoh

MERSING 11 April – Persatuan Nelayan Kawasan Endau (PNKE) telah menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) pada satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman yang mewakili MAIJ menerima bayaran tersebut daripada PNKE bagi tahun 2010 sebanyak RM65,18.09 yang disampaikan oleh Pengerusinya, Wan Sulaiman Abdullah.

Zainal Abidin berkata, pertubuhan dan syarikat lain disarankan mencontohi PNKE yang tidak lupa menunaikan bayaran zakat perniagaannya setiap tahun.

“Dengan membayar zakat insya-Allah, keberkatan akan bertambah dan tidak akan mengurangkan harta yang dimiliki malah akan digandakan oleh Allah SWT.

“Hasil bayaran zakat ini akan disalurkan kepada asnaf yang layak dan saya mendoakan semoga Allah SWT menggandakan lagi keuntungan PNKE pada tahun ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PNKE, di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor, Khaironnesak Omar serta Pengurus PNKE, Othman Maarof.

Sementara itu, Wan Sulaiman berkata, bayaran zakat perniagaan tersebut adalah hasil keuntungan melebihi RM900,000 yang dicatatkan PNKE pada tahun lalu dan persatuan itu tidak pernah mengabaikan tanggungjawab rukun Islam keempat itu.

Sumber: Utusan Malaysia,
ARKIB : 12/04/2011