Home » Salur untuk pelbagai aktiviti

Salur untuk pelbagai aktiviti

KLUANG 25 Jun – Kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) memperuntukkan RM280 juta kepada pelbagai jabatan berkaitan untuk melaksanakan operasi dan aktiviti mereka sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM180 juta diberi kerajaan negeri dan selebihnya daripada MAIJ.

Menurutnya, antara yang mendapat peruntukan itu ialah Jabatan Agama, Mahkamah Syariah dan Jabatan Mufti.

“Peruntukan itu termasuk membayar gaji kira-kira 5,000 guru sekolah agama, latihan guru, kemudahan sekolah dan kebajikan pelajar serta guru,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Score A di Sekolah Menengah Agama (SMA) Kerajaan Johor di sini baru-baru ini.

Seramai 468 pelajar tingkatan lima daripada 14 SMA di negeri ini bakal menikmati akses portal pendidikan Program Score A bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilancarkan beliau menerusi peruntukan Perbadanan Islam Johor sebanyak RM300,000.

Zainal Abidin berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan pelajar sekolah agama tidak terpinggir daripada aliran perdana dengan memberi dan membekalkan kemudahan kepada mereka.

“Menjadi harapan kita juga agar pelajar sekolah agama ini dapat meneruskan kegemilangan sarjana Islam terdahulu. Kita mahu mereka mempunyai ilmu dan kelayakan profesional tetapi pada masa sama mempunyai latar belakang pengetahuan agama Islam yang utuh,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan itu juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa membuat kebajikan berasaskan Islam dan pembangunan umat sentiasa menjadi agenda utama.

Sumber: Utusan Malaysia
ARKIB : 26/06/2011