Home » MAIJ martabat tulisan jawi

MAIJ martabat tulisan jawi

JOHOR BAHRU 26 Jun – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menaja sebanyak 87,560 naskhah akhbar Utusan Malaysia setiap Isnin yang mengandungi sisipan Utusan Melayu Mingguan untuk diedarkan kepada lebih 100 buah sekolah agama di negeri ini.

Penyerahan replika tajaan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman kepada Eksekutif Kanan Pemasaran Zon Selatan Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Asri Jantan di Pusat Islam Iskandar Johor di sini, baru-baru ini.

Tajaan bernilai RM104,832 itu akan diagih-agihkan kepada sekolah agama yang terpilih sahaja dengan tujuan mengangkat martabat tulisan Jawi.

Zainal Abidin berharap sisipan Utusan Melayu Mingguan itu dapat membantu murid-murid menguasai tulisan Jawi, selain dijadikan bahan pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Ini adalah salah satu usaha kita untuk menggalakkan pelajar cintakan tulisan Jawi kerana jarang ada bahan bacaan dalam bentuk unik seperti diketengahkan Utusan Melayu.

“Tulisan Jawi adalah warisan kita dan kita menyokong Utusan Malaysia kerana merupakan satu-satunya akhbar yang masih memperjuangkan tulisan Jawi,” katanya.

Menurutnya, menerusi langganan itu, murid-murid juga dapat mengetahui perkembangan semasa melalui laporan Utusan Malaysia, selain menghayati laporan Utusan Melayu Mingguan.

“Kita perlu menyokong usaha yang dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia yang kini kelihatan lebih menarik dengan wajah dan pengisian barunya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun golongan muda di Johor boleh dikatakan celik Jawi kerana majoritinya bersekolah agama, usaha mempertahankannya perlu dilakukan.

Sumber: Utusan Malaysia
ARKIB : 27/06/2011