Home » 121 sekolah agama siap 2013

121 sekolah agama siap 2013

JOHOR BAHRU – Sebanyak 121 sekolah agama akan dibangunkan Kerajaan Negeri dengan bantuan pembiayaan daripada Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad (KFHMB) iaitu RM160 juta (bagi fasa satu hingga empat) dan juga 30 peratus bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij).

Jumlah keseluruhan pembinaan bagi 121 sekolah ini yang membabitkan lima fasa memperuntukkan perbelanjaan RM294 juta dan akan siap dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pembiayaan pembangunan sekolah daripada KFHMB terutamanya dapat mengatasi keperluan yang mendesak selain memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera menjalankan projek ini.

“Dengan adanya projek ini, ia dapat menampung 100,000 pelajar dan 5,000 guru sedia ada. Jika tiada projek ini kerajaan hanya mampu membina enam sekolah sahaja dalam masa setahun dan ia mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk menyiapkan 121 sekolah.

“RM1.5 juta diperuntukkan bagi setiap sekolah dengan menyediakan enam bilik darjah bagi sekolah bersaiz paling kecil dan 24 bilik darjah (saiz besar),” katanya kepada pemberita di sini selepas majlis menandatangani perjanjian pembiayaan projek pembangunan sekolah agama seluruh Johor antara KFHMB dan MysysNet Development Sdn Bhd di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, pihaknya mahu pendidikan secara formal dilaksanakan di Johor dan setakat ini 40 hingga 50 peratus kerja-kerja pembangunan sedang rancak dijalankan membabitkan 26 sekolah melibatkan semua daerah bagi fasa satu.

Fasa dua pembinaan pula akan dimulakan bulan depan manakala fasa ketiga dan keempat pula akan dimulakan dua bulan akan datang.

Bagi fasa lima pula, kerja-kerja mereka cipta akan dimulakan November ini dan kerja-kerja pembinaan dijangka siap 2013.

“Perancangan pembangunan sekolah agama ini telah diperhalusi kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), Maij dan kemudiannya mendapat sokongan pinjaman dari KFHMB.

“Inisiatif ini memahatkan satu mercu tanda dalam sejarah panjang sistem Pendidikan Agama Negeri Johor yang berusia lebih 100 tahun dan berkembang fasa demi fasa sejak wujudnya Undang-undang Tubuh Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata, sejak 10 tahun kebelakangan ini, perkembangan pembangunan fizikal agak perlahan berbanding pertambahan pelajar yang mencecah 210,000 di seluruh negeri ini dengan kos pembiayaan pengurusan, gaji guru dan penyelenggaraan sahaja mencecah RM115 juta setahun.

Daripada 552 sekolah agama yang ada, hanya 386 sekolah dapat beroperasi di bangunan sendiri dan selebihnya menyewa dan menumpang di kedai-kedai, balai raya dan juga sekolah kebangsaan.

Pembiayaan pinjaman pembinaan sekolah agama bagi fasa satu hingga fasa empat dari KFHMB merupakan penglibatan pertama KFHMB membabitkan 97 sekolah agama dan bagi fasa lima, masih dalam perbincangan bersama Kerajaan Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif KFHMB, Jamelah Jamaluddin berkata, pihaknya juga akan menyumbang kelengkapan untuk pusat sumber sekolah-sekolah agama yang bakal dibina.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sekolah-sekolah agama tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan sebaik siap pembinaan.

“Saiz sekolah yang diberi bergantung kepada saiz pelajar-pelajarnya dan bagi sekolah yang mempunyai 10 bilik darjah ke atas akan dilengkapi bilik sumber selain bilik guru, bilik darjah dan kantin.

“Terdapat 45 peratus tapak pembinaan sekolah yang dimiliki merupakan tapak wakaf dan projek ini diketuai tiga arkitek tempatan yang telah memulakan kerja-kerjanya pada Ogos 2010,” katanya.

Beliau berkata, pemaju yang telah dilantik juga telah melantik 300 kontraktor Bumiputera bagi pembangunan yang berbeza-beza dan Jaij menjangkakan sekurang-kurangnya lapan lagi buah sekolah akan dibina di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.

Sumber: Sinar Harian