Home » Bantu asnaf berdikari, ubah kehidupan – TMJ

Bantu asnaf berdikari, ubah kehidupan – TMJ

Petikan Akhbar: Berita Harian

JOHOR BAHRU: Karnival Usahawan Asnaf (KUA) 2016 dapat membantu golongan itu dari kategori fakir miskin supaya dapat berdikari sehingga berjaya membentuk kelompok baharu yang dipanggil usahawan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bertitah KUA diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan agensi mengurus zakat berusaha membangunkan asnaf.

Titah Tunku Ismail, KUA menjadi aktiviti menyebarkan maklumat mengenai kewujudan golongan asnaf yang sudah berjaya mengubah kehidupan mereka kepada lebih baik dan boleh berdikari.

“Hakikatnya, kejayaan tidak akan datang bergolek, kemajuan juga tidak akan datang melayang, justeru dalam usaha ini MAINJ sudah merangka strategi membantu usahawan berdikari menerusi pelbagai aktiviti. “Karnival ini juga bertujuan memberikan maklumat dan penerangan yang tepat kepada masyarakat mengenai kutipan dan agihan zakat sebagai satu inisiatif membentuk persepsi positif kepada agensi pengurusan zakat terutama MAINJ,” titah Tunku Ismail pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Zakat dan KUA 2016 di Padang C, Angsana Mall di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Mutalip Abd Rahim; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan Pengerusi Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Rahim Ramli.

Tunku Ismail bertitah, KUA juga dapat mengukuhkan hubungan rangkaian kerjasama antara MAINJ, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), agensi mengurus zakat, agensi kerajaan, korporat dan swasta dalam mengukuhkan pembangunan sosioekonomi ummah.

bh_KUA2016
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyampaikan Anugerah Zakat Kebangsaan kategori Asnaf Usahawan selepas merasmikan Sambutan Bulan Zakat dan Karnival Usahawan Asnaf (KUA) 2016 di Padang C, Angsana Mall, Johor Bahru. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Sumber Berita & Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/218958