Home » Petikan Akhbar

Petikan Akhbar

MAIJ kutip zakat RM137.3j

JOHOR BAHRU 24 Mei – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) tahun lalu berjaya mengutip zakat sebanyak RM137.3 juta berbanding RM122 juta pada tahun sebelumnya.

Penolong Pengarah Bahagian Zakat MAINJ, Jasdy Hassan berkata, jumlah kutipan itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM15.3 juta dan pada 2009 pula jumlah zakat yang berjaya dikutip adalah RM110 juta.

“Jumlah kutipan terus meningkat setiap tahun disebabkan faktor kesedaran orang ramai, selain usaha MAINJ menjalankan program berkaitan zakat.

“Sebagai contoh, Program Mesra Zakat yang dijalankan sejak 2006 dilihat mampu mendidik orang ramai yang berkemampuan tentang kepentingan membayar zakat,” katanya pada program mengedarkan 5,000 risalah berkaitan zakat di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Jasdy berkata, selain risalah, pihaknya turut mengedarkan borang pengiraan zakat pendapatan bagi memudahkan orang ramai mengira sendiri pendapatan mereka seterusnya menentukan sama ada mereka layak membayar zakat atau sebaliknya.

Menurutnya, cara tersebut dilihat efisien kerana kira-kira 40 peratus daripada borang tersebut yang lengkap diisi, dikembalikan semula kepada MAINJ untuk penilaian.

“Kakitangan MAINJ akan menghubungi semula individu berkenaan dan seterusnya memberi penerangan tentang kaedah pembayaran zakat yang harus dibuat.

“Justeru, program ini akan diteruskan setiap tahun memandangkan sambutan baik daripada orang ramai dan manfaatnya kepada MAINJ,” katanya sambil memberitahu wang kutipan zakat tersebut akan disalurkan kepada golongan asnaf yang layak secara telus dan adil.

Sumber Berita: Utusan Malaysia 25/05/2012