Home » Petikan Akhbar: MAINJ bantu pesakit jantung berlubang

Petikan Akhbar: MAINJ bantu pesakit jantung berlubang

Gambar Utusan Malaysia

MUAR 5 Julai – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) cawangan Muar menyumbang RM1,000 kepada kanak-kanak yang menderita penyakit jantung berlubang dan masalah dua saluran injap jantung sempit, Nur Farah Athirah Balqis Razak, 3, hari ini.

Wang berkenaan disampaikan Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed yang berkunjung bersama enam pegawainya ke rumah kanak-kanak malang tersebut di Parit Tiram, di sini.

Dzulkafli berharap sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga Athirah Balqis berikutan kekurangan wang tambahan RM6,200 untuk menampung perbelanjaan sepanjang menjaga kanak-kanak itu selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Sekiranya keluarga berkenaan masih memerlukan bantuan, MAINJ sedia mempertimbangkan permohonan baru pada masa akan datang. Kami juga sedang berusaha mendapatkan bantuan sara hidup RM300 sebulan selepas melihat kesulitan hidup yang mereka hadapi.

“Saya mendoakan Athirah Balqis selamat menjalani pembedahan dan dapat hidup sihat seperti kanak-kanak seusianya,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan berkenaan.

Utusan Malaysia pada 28 Jun lalu menyiarkan kisah Athirah Balqis yang akan menjalani pembedahan di IJN pada 16 September ini tetapi keluarganya tidak mempunyai wang untuk menampung kos perbelanjaan selama sebulan sepanjang berada di IJN.

Kos pembedahan tersebut berjumlah kira-kira RM30,000 ditanggung oleh Kementerian Kesihatan, manakala kos tambahan iaitu perbelanjaan keluarga Athirah Balqis semasa di IJN berjumlah RM6,200 harus ditanggung sendiri.

Keluarga kanak-kanak malang tersebut tidak mampu menyediakan kos tambahan itu kerana pendapatan bapanya sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini hanya RM545 sebulan dan ibunya tidak bekerja, sekali gus menyukarkan usaha mengumpul wang.

Sementara itu, ibu kanak-kanak malang berkenaan, Zuleha Yahya, 44, bersyukur dan gembira kerana tidak menyangka pihak MAINJ segera meluluskan permohonan bantuan kewangan kepada keluarganya.

“Setakat ini setelah tersiar cerita di akhbar mengenai kesusahan kami, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM3,100 dan diharap orang ramai akan terus beri sumbangan.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menyumbang ke akuan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Zuleha, 04106-29-00047268-5 atau menghubunginya di talian 012-9238215.

Sumber: Utusan Malaysia, 06/07/2012