Home » Petikan Akhbar: RM5.063j disalur sebelum Syawal

Petikan Akhbar: RM5.063j disalur sebelum Syawal

JOHOR BAHRU 10 Ogos – Seramai 41,639 orang fakir dan miskin di seluruh negeri menerima bantuan hari raya berjumlah RM5.063 juta sebelum Syawal menjelang berdasarkan bantuan yang dibuat oleh para amil yang telah disahkan oleh penghulu dan ketua kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, jumlah tersebut merangkumi 4,418 ketua keluarga fakir dan 13,735 ketua keluarga miskin yang masing-masing turut melibatkan seramai 5,116 dan 18, 379 orang tanggungan.

“Kadar bantuan yang akan diterima ketua keluarga fakir adalah RM300 dan tanggungannya sebanyak RM50, sementara ketua keluarga miskin menerima RM200 dengan tanggungan mendapat RM40.

“Bayaran kepada mereka disampaikan melalui amil dan diserahkan pada pertengahan Ramadan sebagai persiapan berhari raya,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Syura, Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.

Menurut Zainal, kutipan semua jenis zakat setakat 30 Julai 2012 menunjukkan peningkatan kepada RM59.1 juta dan ia dijangka bertambah sepanjang Ramadan manakala agihan skim bantuan zakat yang dibuat dalam tempoh yang sama adalah sebanyak RM88.5 juta.

Katanya, trend agihan melebihi jumlah kutipan dan ia dilakukan dengan menggunakan lebihan baki terkumpul daripada bayaran yang lewat dilakukan pada tahun lalu.

Jelasnya, Mesyuarat penuh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang diadakan turut meluluskan beberapa perkara seperti penambahbaikan sistem penyampaian Bantuan Pendaftaran Masuk Ke IPTA/IPTS supaya masalah kelewatan dapat diatasi dengan kuasa kelulusan diserahkan kepada pegawai pentadbir agama daerah.

“Sehingga Jun lalu, sebanyak RM918,000 bantuan daftar masuk ini diberikan untuk tahun ini. Tahun lalu, sebanyak RM1.8 juta diberikan manakala tahun sebelumnya RM1.18 juta.

“Kita mahu pastikan bantuan ini diterima sebelum pelajar mendaftar masuk kerana bantuan ini perlu untuk persediaan. Bagaimanapun ia mengikut kadar melibatkan jarak universiti terlibat dan kursus yang diikuti sama ada ijazah atau diploma,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 11/08/2012