Home » Petikan Akhbar: MAIJ edar risalah zakat

Petikan Akhbar: MAIJ edar risalah zakat

JOHOR BAHRU 9 Nov. – Sebanyak 3,000 risalah berhubung kempen membayar zakat harta diedarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada pengguna jalan raya yang melalui Plaza Tol Skudai, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam MAINJ, Mohd. Redzuan Abd. Rasid berkata, pengedaran risalah yang bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari itu bertujuan mengingatkan pembayar zakat agar menjelaskan Rukun Islam keempat itu sebelum 31 Disember ini.

“Selain itu tujuan kita menganjurkan program ini untuk menggalakkan pembayar zakat baru yang layak agar melunaskan zakat masing- masing kerana ini adalah sebahagian daripada usaha untuk membersihkan harta pembayar zakat.

“Kelebihan lain pembayaran zakat harta ialah untuk menyuburkan harta, dilempahkan rezeki melimpah ruah dan yang paling penting dapat membantu golongan kurang bernasib baik termasuk miskin, uzur dan orang kelainan upaya,” katanya selepas pelancaran program tersebut.

Program itu disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Mustafa Omar.

Ustaz Mustafa Omar menyampaikan makanan dan risalah kepada pemandu kereta dalam operasi zakat di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru, semalam.
Sumber Gambar: Utusan Malaysia

Mohd. Redzuan berkata, pelbagai saluran kemudahan untuk pembayaran zakat disediakan iaitu umat Islam di negeri ini boleh datang sendiri ke kaunter zakat MAINJ di semua pejabat agama daerah atau membuat bayaran melalui cek, kiriman wang, wang pos atau draf bank atas nama Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Negeri Johor.

Selain itu, katanya, kebanyakan bank juga merupakan ejen kutipan zakat MAINJ yang pembayaran boleh dibuat melalui kaunter atau dalam talian.

“Kemudahan skim potongan gaji bulanan juga disediakan untuk kakitangan kerajaan dan swasta.

Selain itu, kaunter bergerak atau sementara juga dibuka dari semasa ke semasa dan pihak kami bersedia untuk datang memberi penerangan, pengiraan dan kutipan zakat,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121110/wj_03/MAINJ-edar-risalah-zakat#ixzz2Cia0pJ3p
© Utusan Melayu (M) Bhd