Home » Warkah khas dari Setiausaha Kerajaan Johor. 

Warkah khas dari Setiausaha Kerajaan Johor. 

Warkah khas dari Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor. 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Bismillahirahmanirrahim

Saudara dan saudariku pegawai JAINJ dan MAINJ yang dikasihi. Ramai di kalangan kita, pegawai JAINJ dan MAINJ adalah barisan hadapan atau ‘frontliners’, yang komited melawan wabak virus COVID-19 di Johor, baik bekerja di lapangan atau di pejabat. Teruskan cekal, kuat dan bersemangat. Yakinlah kita akan dapat atasinya bersama-sama. Jaga diri dan patuh Tatacara Piawaian Operasi (Standard Operating Procedure) yang ditetapkan. Semoga Allah pelihara dan permudahkan segala urusan serta membalas dengan kebaikan.

Pada yang lain, demi mereka, keluarga kita, negeri dan negara tercinta ini, duduklah di rumah #stayathome.

Doa saya sentiasa mengiringi saudara dan saudari semua,

Ya Allah Ya Rahman Ya Qawiyu Ya Malikul Mulk, kurniakanlah kekuatan kepada saudara kami yang sedang berkhidmat untuk umat ini. Ya Allah Ya Muqtadir, dikau kurniakan kesihatan yang sempurna buat mereka. Ya Allah Ya Waliy, Dikau lindungilah mereka, pasangan mereka, anak-anak mereka dan kaum keluarga mereka daripada bencana ini. Ya Allah Ya Sami’, perdengarkanlah permintaan kami ini.

Ya Allah Ya Ghafur Ya Tawwab, kami memohon keampunan-Mu dengan sebenar-benar keampunan atas segala kesilapan yang kami lakukan. Atas hambatan dosa yang kami telah lakukan sehingga kami ditimpa fitnah dunia ini. Sesungguhnya kami orang-orang yang menzalimi diri kami sendiri.

Ya Salaam Ya Ghaffar, kami memohon ke hadrat-Mu Ya Allah agar diangkat virus ini daripada terus menular di bumi yang diberkati, negeri Johor dan negara Malaysia ini. Kami memohon perlindungan daripadaMu Ya Allah Yang Maha memberi perlindungan.

Ya Allah Ya Mujib, hanya kepada-Mu kami memohon wahai Tuhan Yang Maha Mengkabulkan permohonan hamba-hambanya yang bergantung harap.

Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Kepada Allah Berserah Bersama kita putuskan rantaian penularan COVID19;

Jaga kebersihan dan penjarakkan sosial.

Ikhlas daripada:

Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi bin Rohani
Setiausaha Kerajaan Johor.

7 April 2020 / 3.25 am