Home » MAIJ aktif perkenal, galak budaya wakaf

MAIJ aktif perkenal, galak budaya wakaf

Bangunan asrama enam tingkat bernilai RM6 juta bagi menampung pelajar Johor di Universiti Al Azhar Mesir

 

Sumbangan serendah RM10 beri peluang warga berpendapatan rendah bersedekah

Mewakafkan harta adalah amalan jariah yang sangat dituntut agama Islam kerana menunaikannya bukan saja menjadi ibadah, malah ia satu sistem yang berpotensi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam menerusi pengumpulan harta secara bersama dan berkelompok.

Wakaf juga menjadi amal salih yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah kepada pewakaf selagi harta yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.

Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah dan dengan demikian kedudukan harta wakaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi), diwarisi dan dipusakai.

Usaha Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memperkenalkan skim Saham Wakaf Johor sejak 1993 berjaya memberi kemudahan kepada umat Islam dan menggalakkan mereka untuk berwakaf.

Malah MAIJ adalah majlis agama Islam yang pertama di negara ini yang memperkenalkan skim itu dan paling aktif melaksanakan pelbagai projek wakaf, selain mempromosikan kempen menggalakkan budaya wakaf.

Minimum RM10 seunit

Penolong Pengarah Wakaf, Mustapahayuddin Abdul Khalim, berkata saham wakaf diwujudkan bagi menggalakkan umat Islam mengamalkan ibadah berwakaf dengan nilai saham minimum RM10 seunit.
“Menerusi cara itu, umat Islam boleh membeli saham yang ditawarkan MAIJ dan mewakafkannya dengan tujuan manfaat kepada umat Islam lain. Skim ini tidak hanya terhad kepada penduduk Johor saja, malah terbuka kepada semua orang Islam.

“Skim ini berasaskan kepada penghayatan terhadap sabda Rasulullah, apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan ibu bapanya,” katanya.

Mustapahayuddin berkata, dengan wujudnya skim itu, ia boleh menafikan tanggapan sesetengah masyarakat Islam bahawa berwakaf hanya boleh dilakukan oleh individu tertentu yang mempunyai harta dan kemampuan kewangan saja.

Tak babit aset kekal

Katanya, selain menyuburkan semula amalan wakaf yang menjadi sedekah jariah dituntut Islam, skim itu juga menyediakan kemudahan dan alternatif kepada masyarakat Islam menyertai ibadah wakaf tanpa membabitkan wakaf aset kekal.

“Skim ini dapat menggalakkan orang ramai menyumbang dan membuat pelaburan sebagai sedekah jariah tanpa had maksimum bagi tujuan kepentingan, kebajikan dan kebaikan umat Islam secara menyeluruh,” katanya.

Mustapahayuddin berkata, skim itu memudahkan umat Islam mewakafkan harta mereka dalam bentuk tunai kerana tidak semua mereka mempunyai aset atau harta kekal seperti tanah dan bangunan yang boleh diwakafkan.

Kejayaan pelaksanaan skim saham wakaf itu terbukti apabila ada umat Islam yang membeli saham sehingga RM100,000, selain rakyat negara ini yang tinggal di luar negara turut menyertainya. Sehingga kini terdapat lebih 20,000 peserta menyertai skim ini dengan nilai keseluruhan RM30 juta.

Pelaksanaan skim itu juga diakui lebih efektif apabila MAIJ menggunakan pelbagai saluran bagi kemudahan pembayaran termasuk menerusi atas talian www.e-wakafjohor.gov.my, wang pos, kaunter MAIJ di semua daerah dan kaunter bergerak.

Usaha memperkenalkan skim itu ternyata berjaya apabila hanya dalam tempoh setahun penubuhannya, MAIJ berjaya mengutip RM5 juta bagi pembelian bangunan enam tingkat di Tampoi yang kini dijadikan Pusat Haemodialisis MAIJ bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan.

Asrama pelajar di Mesir

Terbaru, menerusi saham wakaf, MAIJ berjaya menyediakan asrama enam tingkat bagi kemudahan pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, dengan kos RM6 juta dan boleh menampung sehingga 80 pelajar pada satu masa.

Selain itu MAIJ juga sedang berusaha menambah saham wakaf bagi tiga projek yang masih dalam pelaksanaan termasuk projek wakaf al-Quran yang menyasarkan kutipan bagi kos 30,000 naskah al-Quran. Setakat ini, separuh daripada nilainya berjaya dikutip.

Menerusi projek itu, MAIJ merancang mengagihkan al-Quran wakaf ke sekolah agama seluruh Johor, pejabat kerajaan dan swasta bagi manfaat umat Islam.

Tidak terkecuali, MAIJ juga mahu umat Islam bersama menambah hak milik hartanah wakaf di kawasan Iskandar Malaysia menerusi program wakaf bangunan perniagaan di Fortune Point, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya, dengan kos dianggarkan RM1.57 juta.

Pembelian saham wakaf turut membabitkan projek sekolah agama di negeri dengan kos RM86 juta bagi menampung kos pembinaan 121 sekolah agama yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Setakat ini projek bangunan perniagaan dan sekolah agama masing-masing mencatatkan kutipan 20 peratus dan umat Islam masih berpeluang menyertainya.

Sumber Berita: Berita Harian, 2013/02/03