Soalan Lazim Zakat

S- Soalan J- Jawapan

S- Adakah seseorang perlu mengeluarkan zakat wang simpanannya di bank sekiranya bank tersebut telah mengeluarkan zakat atas perniagaannya?

J- Sekiranya bank mengeluarkan zakat ke atas perniagaanya maka penyimpan perlu mengeluarkan zakat simpanannya sendiri. Ini kerana bank tidak mengeluarkan zakat simpanan pendepositnya tetapi perniagaannya sahaja. Sekiranya bank memaklumkan pengeluaran zakat adalah atas deposit penyimpan maka pendiposit tidak perlu lagi mengeluarkan zakatnya.

 

S- Adakah wang simpanan di kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib dikeluarkan zakat oleh pemiliknya?

J- Wang yang terdapat di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tidak wajib zakat ke atasnya sehinggalah dikeluarkan oleh pemiliknya dan disimpan selama setahun (genap haul dan cukup nisab). Sekiranya dalam tempoh haul telah habis digunakan maka tidak wajib zakat.

 

S- Adakah hutang itu mengugurkan kewajiban berzakat atau mengurangkan wang simpanan daripada nisab?

J- Hutang ada 2 jenis iaitu hutang sekarang (perlu dijelaskan kerana dituntut) dan hutang yang tertangguh.

Hutang sekarang
Hutang jenis ini boleh mengurangkan jumlah nisab dan menggugurkan kewajiban berzakat. Contohnya Ahmad mempunyai wang simpanan sebanyak RM5,000.00 dan pernah berhutang daripada Ali sebanyak RM2,500.00. Ahmad tidak wajib mengeluarkan zakat simpanannya kerana setelah ditolak hutangnya baki simpananya ialah RM2,500.00 tidak mencukupi kadar nisab (diandaikan kadar nisab RM3,000.00)

Hutang bertangguh
Hutang bertangguh tidak menggugurkan kewajiban berzakat dalam tempoh waktunya (setelah cukup nisab dan haul). Contohnya Mohamad mempunyai simpanan sebanyak RM10,000.00 dan dalam masa yang sama ada membuat pinjaman perumahan daripada bank sebanyak RM50,000.00 dengan bayaran balik RM 400.00 sebulan
Hutang ini tidak mengurangkan jumlah simpanan yang ada. hutang tersebut dikira hutang akan datang dan tidak kira sebagai tangunggan semasa. Penolakan hanya boleh di buat atas bayaran bulanan bagi bulan terakhir dalam tempoh haul.

 

S- Adakah seorang pemiutang perlu mengeluarkan zakat atas wangnya yang dipinjam oleh orang lain? 

J- Wang yang dipinjam dan berada di tangan orang lain wajib dizakatkan sekiranya telah sempurna syaratnya. Jika zakatnya tidak dikeluarkan pada tahun tersebut maka wajib di qada’ pada tahun hadapan.

 

S- Adakah pemegang / pemilik saham dalam sesebuah syarikat perlu mengeluarkan zakat sahamnya secara persendirian?

J- Pemegang atau pemilik saham dalam sesebuah syarikat tidak perlu mengeluarkan zakat sahamnya sekiranya syarikat tersebut telah mengeluarkan zakat perniagaan bagi pihak pemegang sahamnya. Sekiranya syarikat tidak mengeluarkan zakat perniagaanya maka individu yang memiliki saham syarikat tersebut wajib membayar zakat saham secara persendirian.

 

S- Bagaimanakah caranya bagi sesebuah syarikat yang mempunyai pemegang saham yang terdiri dari pelbagai agama untuk mengeluarkan zakat perniagaanya?

J- Pihak syarikat perlu mengasingkan saham-saham yang dimiliki oleh orang Islam dan bukan Islam dan hanya saham yang dimiliki oleh pemilik Islam sahaja yang dikeluarkan zakat (setelah cukup syaratnya).

 

S- Adakah barang kemas (emas) yang bercampur dengan logam lain wajib dikeluarkan zakatnya? Bagaimana? 

J- Barang kemas yang bercampur (emas dan logam lain) wajib dikeluarkan zakatnya jika sempurna syaratnya. Pemilik ketika membeli hendaklah bertanya kepada penjual nisbah emas yang terdapat dalam barang kemas tersebut bagi menentukan kadarnya.

 

S- Adakah barangan kemas yang dimiliki oleh anak kecil diwajibkan zakat sedangkan ia dihadiahkan oleh ibunya? Sekiranya wajib adakah ianya dizakatkan secara berasingan daripada barang kemas ibunya?

J- Anak kecil yang mempunyai barang kemas wajib dikeluarkan zakatnya oleh walinya jika cukup syaratnya. Zakat barang kemasnya dikeluarkan secara berasingan dengan barang kemas milik ibunya (nisab dan kadar keluar) kerana milik orang yang berasingan.