Tajuk : MAIJ sasar kutip zakat RM83 juta

BATU PAHAT 17 Mei - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menyasarkan untuk mengutip RM83 juta zakat tahun ini, berbanding RM73 juta tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAIJ, Ahmad Faisal Mohamed berkata, jumlah tersebut mampu dicapai berdasarkan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan pembayar zakat di negeri ini yang kini berjumlah 58,000 orang kini berbanding lebih 30,000 tahun lalu.

"Sehingga April tahun ini sahaja sebanyak RM20 juta telah berjaya dikutip dan ia dijangka terus meningkat menjelang pertengahan dan akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Road Show Pembayaran Zakat Melalui Pemotongan Gaji dan Saham Wakaf Peringkat Daerah Batu Pahat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini baru-baru ini.

Ahmad Faisal berkata, MAIJ telah melaksanakan pelbagai program bagi menyedarkan umat Islam mengenai kepentingan membayar zakat dengan pergi ke jabatan-jabatan kerajaan, sekolah, Felda dan sektor swasta.

Beliau berkata, usaha lebih agresif juga sedang dilaksanakan bagi memastikan sejumlah RM9 juta wang zakat yang berbaki kini selesai diagih-agihkan kepada asnaf-asnaf yang sepatutnya.

Katanya, zakat itu akan diberikan melalui kerjasama dengan wakil-wakil rakyat di seluruh Johor bagi mengesan golongan miskin yang layak menerimanya.

Menurutnya, zakat itu juga akan diagihkan terus kepada sasaran antaranya pusat-pusat rawatan seperti pusat dialisis.

Sumber : Utusan Malaysia