JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menerusi syarikatnya, MAIJ Urus Sdn. Bhd. menjadi majlis agama negeri pertama berjaya mewujudkan pusat hemodialisis yang serba lengkap.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ Urus Sdn. Bhd., Datuk Zalil Baron berkata, Pusat Hemodialisis MAIJ Urus bernilai kira-kira RM700,000 itu buat permulaan dilengkapi lapan mesin dialisis dan mampu memberi perkhidmatan kepada 18 pesakit untuk dua kali giliran.
"Berdasarkan perancangan asal, apabila semua kemudahan dan peralatan sudah ditempatkan sepenuhnya, kita sebenarnya mampu menampung sekitar 50 pesakit dalam satu hari menerusi tiga giliran.
"Kita wujudkan pusat perubatan dan rawatan seumpama ini bagi pesakit diabetis untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan selain menaikkan syiar Islam di mata masyarakat,'' katanya.
Zalil yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas menghadiri Majlis Pelancaran Operasi Pusat Hemodialisis MAIJ Urus di Bangunan Wakaf MAIJ, Kampung Pasir dekat sini, malam semalam.
Turut hadir Mufti Johor, Datuk Mohd. Noh Gadut, Pengurus MAIJ Urus Sdn. Bhd., Mohidin Yahya Samsuddin dan ahli-ahli MAIJ.
Kata Zalil, buat permulaan iaitu mulai Isnin ini, pusat itu akan memberi perkhidmatan kepada 32 pesakit menerusi lapan mesin dan diadakan secara dua giliran.
Menurutnya, bagi memastikan kesemuanya berjalan lancar, pusat itu diselenggara oleh seorang jururawat, beberapa orang pembantu jururawat dan kakitangan sokongan lain.
"Semua kemudahan, peralatan dan mesin dialisis yang kami sediakan adalah serba lengkap dan yang lebih penting menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan juga agensi-agensi serta penguat kuasa lain," katanya.
Zalil berkata, bagi memastikan pusat itu dapat memberikan perkhidmatan sebaik mungkin dan terus berdaya saing, pihaknya telah menyediakan seorang doktor petugas, Dr. Abdul Hanan Namat dan seorang Nephrologis, Dr. Ramli Seman.
Sumber : Utusan Malaysia |