Tajuk : Sumbangan zakat ringankan beban penerima

JOHOR BAHRU 22 Mei - Tukang paip sambilan, Md. Fowzi Kastamam, 45, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak dua tahun lalu bersyukur setelah menerima sumbangan RM4,000 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi membiayai rawatannya.

Menurutnya, sumbangan itu membolehkannya melangsaikan tunggakan bayaran rawatan dialisis sebanyak RM4,000 di Pusat Dialisis dan Kesihatan Masjid Bandar Baru Uda (BBU) di sini.

"Tanpa sumbangan ini, tentu sukar untuk saya membayar tunggakan itu dan terus menjalani rawatan di pusat tersebut,'' katanya selepas menerima cek sumbangan itu sempena Seminar Zakat Potongan Gaji dan Saham Wakaf di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Sumbangan hasil pungutan zakat itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru.

Md. Fowzi yang tinggal di Kampung Sungai Danga, di sini berkata, sejak mengalami penyakit itu dia tidak mampu bekerja kuat dan terpaksa dibantu isterinya, Rosnah Kabut, 48 yang bekerja sambilan.

"Pendapatan kami berdua kira-kira RM1,000 sebulan dan dengan itulah kami menanggung lima anak yang masih bersekolah," katanya.

Turut menerima bantuan zakat itu ialah Yusri Yusuf, 32, yang kehilangan rumahnya di Sungai Sebulung, Kampung Melayu Majidee, di sini dalam satu kebakaran pada 9 April lalu.

Menurut pengawal keselamatan ini, sumbangan RM1,000 yang diberikan itu akan dapat meringankan bebannya menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.

"Saya akan menggunakan wang ini untuk membeli keperluan harian kerana semua barangan kami termasuk pakaian hangus sama sekali dalam kejadian itu," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia