JOHOR BAHRU 23 Mei - Lebih 21,000 pekerja Islam di Johor telah mengikuti Skim Infaq iaitu pembayaran zakat menerusi pemotongan gaji bulanan sejak ia dilancarkan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) pada tahun 2000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru berkata, selain kakitangan kerajaan, penyertaan turut membabitkan pekerja sektor swasta dengan kutipan RM1.1 juta setiap bulan.
Menurutnya, pembayaran zakat itu telah dapat membantu membangun dan meningkatkan kehidupan ramai asnaf zakat khususnya fakir miskin di negeri ini.
"Bilangan ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa ekoran kesedaran tinggi di kalangan pekerja Islam terhadap tanggungjawab membayar zakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Seminar Zakat Melalui Potongan Gaji dan Saham Wakaf peringkat daerah Johor Bahru, di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Sempena majlis itu, MAIJ turut mengutip RM353,654 zakat perniagaan daripada empat pembayar iaitu Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., (RM320,000), IPPJ Sdn. Bhd., (RM23,654), Restoran Ayub (RM5,000) dan AB Success Marine (M) Sdn. Bhd. (RM5,000).
Adam berkata, bagi kemudahan umat Islam membayar zakat, MAIJ turut memperkenalkan beberapa kaedah termasuk melalui kaunter zakat di bank dan Internet sejak beberapa tahun lalu.
Mengenai harta wakaf, beliau berkata, MAIJ merupakan pemegang amanah tunggal bagi mendaftar, mentadbir dan memelihara harta tersebut bagi kepentingan umat Islam.
"Di Johor Bahru sahaja sehingga kini terdapat 759 harta wakaf iaitu masjid sebanyak 155 buah dan diikuti surau (321), sekolah agama (170), kubur (52) dan wakaf am (61)," katanya.
Selain itu, menurutnya, sejak Saham Wakaf dilaksanakan 1993, MAIJ telah berjaya membangunkan sosioekonomi umat Islam termasuk membina bangunan wakaf berharga RM4.9 juta di Jalan Tampoi.
Sumber: Utusan Malaysia |