(Petikan Utusan Malaysia 25 Mac 2008)
JOHOR BAHRU 24 Mac – Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan membangunkan pusat jualan Halal bagi menjual produk halal yang dihasilkan usahawan bumiputera dan peniaga Islam.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, langkah itu bagi memudahkan umat Islam mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian halal dan tidak diragui kesuciannya.
Selain usahawan, ujarnya, pusat halal itu juga akan dijadikan tempat menjual pelbagai produk yang dihasilkan asnaf zakat di negeri ini termasuk oleh golongan ibu tunggal.
“Kerajaan negeri amat menitik beratkan aspek makanan halal dalam usaha menjaga kesucian hati dan ibadat umat Islam,” katanya semasa merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Ke-76 di Persada Johor di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Zainal Abidin Osman.
Mengenai masalah sosial, Abdul Ghani berkata, terdapat pelbagai punca yang menyumbang kepada berlakunya perkara tersebut di kalangan umat Islam.
“Antaranya, kurang penghayatan ilmu agama, pengaruh persekitaran, media massa, kerapuhan institusi keluarga, kefahaman kebendaan dan bersikap pentingkan diri sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan beberapa program terutama membudayakan al-Quran dan As-Sunnah di masjid, surau dan sekolah agama bagi mengatasi masalah tersebut.
“Program ini dapat memupuk kembali nilai-nilai Islam dan jati diri pada setiap muslim di Johor,” katanya.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan Majlis Kesufian tahun ini bagi mewujudkan sebuah Panduan Kesufian (tarekat).
Menurutnya, langkah itu untuk mengenal pasti tarekat yang boleh diamalkan dan tidak memesongkan pengamalnya.
“Majlis tersebut akan dihadiri pakar dan pengamal tarekat yang kemudian akan menyenaraikan jenis tarekat yang boleh diamalkan,” katanya. |