JOHOR BAHRU 25 April - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menerima kutipan zakat perniagaan berjumlah RM103,489 daripada tiga syarikat tempatan bagi diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang layak menerimanya.
Bayaran zakat berkenaan menjadikan zakat yang telah dikutip oleh MAIJ sehingga kini berjumlah RM27 juta.
Pembayaran zakat terbanyak adalah daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM43,000 yang disampaikan oleh Pengurus BSN Johor, Badli Hamsan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Zainal Abidin Osman di Kompleks Islam Iskandar di sini hari ini.
DisampaikanDua lagi syarikat adalah Bank Pertanian (Agro Bank) sebanyak RM20,765 yang disampaikan oleh Pengurus Negeri, Abdul Malik Idris dan Mini Estet Al-Rahman sebanyak RM39,724 yang disampaikan oleh Pengerusinya, Abdul Rahman Abas.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif Pusat Zakat Johor, Datuk Zalil Baron dan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Adinan Maning berkata, pihaknya telah memperuntukkan RM602,000 bagi tahun kewangan 2007 untuk bayaran zakat di seluruh negara.
"Ini hasil keuntungan produk perbankan Islam serta pertumbuhan yang menggalakkan oleh BSN sepanjang tahun lalu," katanya.
Menurutnya, operasi perbankan Islam BSN yang diperkenalkan pada 2004 tidak bercanggah dengan syariah bagi memberikan peluang umat Islam untuk mengguna pakai gaya hidup Islam menerusi perbankan.
Sumber : Utusan Malaysia |