Tajuk : MAIJ bayar ganti rugi mangsa

JOHOR BAHRU-Semua mangsa kebakaran di Kampung Seri Purnama di Senai menerima ganti rugi dari Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing. Penolong Pengarah Maij Bahagian Baitulmal, Ustaz Syahrin bin Md. Jamaludin berkata, pihaknya akan meneliti setiap kes sebelum memberi bantuan.
“Buat masa ini, kita cuma salurkan bantuan segera-sebanyak RM1,000 bagi semua keluarga berserta barangan makanan lain.

“Selebihnya, kita akan beri mengikut siasatan kes kerana ini wang zakat yang bukan semudah itu hendak diagihkan,” katanya ketika menyampaikan bantuan segera kepada semua mangsa. Menurut Ustaz Syahrin, MAIJ akan membina sebuah rumah bernilai RM20,000 sekiranya mangsa mempunyai tanah atas nama sendiri.

“Jika tidak, mangsa boleh memohon mana-mana perumahan kos rendah dan MAIJ akan menyalurkan 10 peratus wang pendahuluan untuk masuk rumah sebelum diselesaikan sepenuhnya dengan kos bawah RM25,000.

“Soal penempatan, mangsa boleh berbincang dengan wakil rakyat di sini untuk mencari penyelesaian,” jelasnya. Sambil menyifatkan kebakaran yang berlaku pada pukul 7 pagi baru-baru ini sebagai dugaan. Syahrin berharap semua mangsa dapat bersabar dan tenang menghadapi segala dugaan.