Tajuk : 104 keluarga mangsa ribut terima bantuan

(Petikan Utusan Malaysia 2 April 2008)
JOHOR BAHRU 2 April – Sebanyak 104 keluarga di Kampung Bendahara di sini yang terlibat kejadian ribut, Khamis lalu, menerima bantuan segera RM5,200 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Penghulu Mukim Plentong, Muharam Parlie berkata, bantuan barangan keperluan harian termasuk beras adalah bantuan segera kepada mangsa yang mengalami kerugian hampir RM100,000.

“Selain itu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membuat bancian bagi mengenal pasti kerugian dan bantuan yang boleh diberikan kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muharam berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ribut kira-kira 4.15 petang Khamis lalu yang merosakkan sebahagian besar bumbung rumah di kampung itu.

“Kami difahamkan sebahagian besar mangsa telah memperbaiki segala kerosakan termasuk bumbung rumah mereka.

“Untuk itu kita akan teliti kos yang dikeluarkan untuk memperbaiki kerosakan tersebut untuk dikemukakan kepada jabatan dan agensi yang berkaitan,” katanya.