YAB
Menteri Besar Johor pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri
pada tahun 1428 Hijrah mengarahkan Jabatan Agama Johor (JAJ) mewujudkan
sukarelawan bagi membantu masyarakat semasa menghadapi bencana alam
dan kecemasan.
Perkara
ini dibangkitkan kerana pada bulan Disember 2006 dan bulan Januari
2007 negeri Johor menghadapi banjir besar sebanyak dua kali dalam
jangka masa sebulan yang memakan masa begitu panjang sehingga mengakibatkan
banyak kerugian harta benda dan juga kehilangan jiwa.
Pengalaman banjir panjang telah mengajar kita untuk bersiap sedia
menyediakan sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan
JAJ dan Jawatankuasa Masjid Kariah.
Nama
Briged Ansar dipilih atas dasar bahawa semasa peristiwa hijrah kaum
muslimin dari Makkah ke Madinah iaitu golongan Ansar telah banyak
menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada golongan Muhajirin.
Atas makna “Ansar” yang bermaksud memberikan pertolongan,
maka nama “Briged Ansar” dipilih bagi kumpulan sukarelawan
muslim ini.
Penubuhan
Briged Ansar bertujuan menjadikan kakitangan JAJ dan Jawatankuasa
Masjid sebagai rakan kongsi dalam menghadapi sebarang bencana alam
dan kecemasan. Selain itu, ia juga mewujudkan kumpulan sukarelawan
yang berfungsi membantu, menyelia dan mengatasi sebarang masalah
yang berbangkit dalam suasa kecemasan.
Buat
peringkat permulaan, seramai 300 anggota Briged Ansar telah dipilih
yang terdiri daripada kakitangan JAJ dan Majlis Agama Islam Negeri
Johor (MAIJ). Mereka ini terdiri dari pelbagai peringkat kakitangan
sama ada pengurusan dan profesional atau pun sokongan, begitu juga
sama ada di peringkat ibupejabat atau pun daerah.
Pada masa hadapan, keanggotaan Briged Ansar ini akan ditambah dari
semasa ke semasa supaya keadaannya itu sentiasa relevan dengan suasana
semasa.
Untuk menjadikan anggota Briged Ansar ini satu kumpulan yang mampu
menangani sebarang bencana yang tiba, pihak pengurusan Briged Ansar
telah mengadakan persepakatan dan persefahaman dengan pihak Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia Cawangan Johor untuk melatih anggota Briged
Ansar ini di bawah program Civil Defence Emergency Response Team
(CDERT). Untuk peringkat permulaan, latihan asas pertahanan awam
diberikan kepada anggota Briged Ansar. Untuk itu, latihan siri pertama
bermula 18 hingga 23 November 2007 telah berlangsung di Kem PLKN
YPJ Sekakap Mersing seramai 115 orang. Latihan Siri kedua pula pada
25 hingga 30 November 2007 bertempat di Kolej Komuniti YPJ Taman
Matahari, Kluang melibatkan 57 pelatih. Latihan siri ketiga yang
akan dilaksanakan di Kem PLKN YPJ Sekakap Mersing pada 9 hingga
14 Disember 2007 disertai 125 peserta.
Beberapa
siri latihan lanjutan turut diatur supaya peserta benar-benar mahir
dalam bidang penyelamat dan berupaya memberikan khidmat bakti kepada
masyarakat dan negara. Latihan lanjutan ini akan merangkumi bidang
pertolongan cemas, bomba, penyelamat, pengurusan, warden dan kebajikan.
Kesemua latihan ini akan dilaksanakan secara bersama dengan Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia.
Bagi memberikan identiti kepada anggota Briged Ansar ini, satu pakaian
seragam akan diberikan kepada setiap anggotanya termasuk baret,
baju t-shirt, seluar, tali pinggang, kasut, setokin dan beberapa
peralatan lain yang perlu untuk bertugas sebagai penyelamat.
Briged
Ansar ini akan dijangka akan dilancarkan secara rasminya pada Majlis
Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1429H pada
10 Januari 2008 bertempat di Dewan Pusat Islam Iskandar Johor, Johor
Bahru.
|