BATU PAHAT 3 April – Sejumlah 38 keluarga dari lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja yang terlibat dalam kejadian ribut Ahad lalu menerima bantuan berjumlah RM300 hingga RM600 setiap keluarga daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).
Ahli Dewan Undangan Negerinya, Aziz Kaprawi memberitahu, mereka yang menerima bantuan itu ialah dari Kampung Jelutong, Sameon, Samijan, Parit Salleh Ros dan Parit Haji Hassan.
Beliau berkata, kejadian ribut kali ini melibatkan mangsa paling ramai setakat ini, tetapi tidak mengakibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan serius.
“Bantuan yang diberikan sebahagian besar adalah untuk membaiki atap dan bumbung yang terbang dan mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Wang MAIJ di Masjid Riadhul Jannah, Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja di sini semalam.
Aziz berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban mangsa yang terpaksa membaiki rumah masing-masing.
Pada kejadian yang berlaku antara pukul 6 hingga 6.30 petang itu, ribut yang melanda beberapa kampung berkenaan turut mengakibatkan kerosakan bumbung sebuah surau dan bumbung Kolej Kemahiran Teknologi Mara Parit Raja.
Sehari selepas kejadian Aziz menyampaikan sumbangan peribadi pada mangsa-mangsa bagi meringankan beban mangsa. |