Tajuk : Ahli Maij, KPP dirai - Agihan zakat akan ditumpu

JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Agama Johor (JAJ) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahlinya yang banyak menaburkan jasa bakti sepanjang tempoh perkhidmatan. Pengerusinya, YB Hj Zainal Abidin bin Osman berkata, MAIJ secara tradisinya akan meneruskan kecemerlangan sebagai pemegang amanah dan pengurus harta umat Islam di negeri ini.

Kepekaan masyarakat dan soalan yang sering dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri berkaitan urusan agama antaranya ialah berhubung agihan zakat. Sehubungan dengan itu, YB Hj Zainal berkata, MAIJ akan memastikan agihan kepada asnaf menjadi tumpuan utama dengan beberapa program dikenalpasti termasuk penubuhan MAIJ Urus Sdn. Bhd.

“MAIJ Urus antara lain bertujuan bukan sahaja memacu penerima asnaf keluar dari kepompongnya tetapi turut menjadi platform menjana ekonomi umat Islam di negeri ini secara telus, merata dan bersistematik,”katanya. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ YB Dato’ Hj Zalil Baron, Mufti Johor SS YB Dato’ Hj Nooh Gadot dan Timbalannya SS YB Dato’ M. Tahrir bin Dato’ Kiai Shamsuddin.

Pegawai yang diraikan kerana bertukar ke jawatan lain ialah Setiausaha MAIJ Hj. Ramlee bin A. Rahman yang dilantik sebagai Pentadbir Tanah Daerah Kulai dan KPP MAIJ Ustaz Hj. Yahya bin Ahmad yang bertukar ke Bahagian Dakwah JAJ.

Ahli MAIJ yang tamat tempoh perkhidmatan ialah Prof Hj Selamat Hashim (19 Sept 1992 hingga 19 Sept 2007), Hj. Fadil Mohd. Noor (27 Mac 1991-20 Sept 2007), YB Dato’ Zainal Abidin Ahmad (20 Okt-1996-20 Sept 2007) dan YM Tunku Abd. Rahman bin Tunku Bakar (9 Sept 1996 sehingga 20 Sept 2007).Menurut YB Hj Zainal, semasa Perdana Menteri berkunjung ke Johor baru-baru ini, masalah zakat yang berperanan sebagai pembasmi kemiskinan turut dibangkitkan.“Untuk tujuan itu Kerajaan Pusat telah memperuntukan RM20 juta bagi mengimbangi jurang kemiskinan dengan kerjasama MAIJ sendiri secara berterusan,”katanya. Beliau mengharapkan agihan zakat dapat disempurnakan dengan cekap dan seimbang dengan kutipan sebagai merealisasikan amanah pembayar zakat di negeri ini yang terus memberi sokongan tidak berbelah bagi.

Sementara itu wakil yang diraikan, Prof Hj Selamat Hashim mengucapkan setinggi-tinggi dirgahayu dan menjunjung kasih ke bawah DYMM Sultan Johor yang memberi kepercayaan sepanjang tempoh perkhidmatan Ahli-ahli MAIJ selama ini. Beliau turut menyarankan agar penjawat awam menulis buku sebagai sumber rujukan masyarakat .