Tajuk : Pesakit paru-paru dibantu

JOHOR BAHRU- Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga kanak-kanak pesakit paru-paru kronik ‘Bronchiolitis Obliterans’, Nurain Shakirah, 5, supaya mampu menampung kos pembelian alat bantuan oksigen mudah alih.
Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitulmal dan Wakaf MAIJ, Ustaz Hj Ahmad Faisal Mohamed, berkata bantuan itu bagi membolehkan kanak-kanak itu menggunakannya ketika mengikuti sesi pembelajaran di prasekolah. Tempoh menyediakan alat bantuan itu bergantung sama ada pembekal alat perubatan itu mempunyai stok barangan berkenaan.

“MAIJ prihatin dengan keperluan Nurain iaitu alat bantuan oksigen mudah alih yang senang dibawa ke mana-mana saja termasuk bagi membolehkannya menghadiri prasekolah pada tahun depan seperti kanak-kanak lain” katanya. Terdahulu, akhbar ini melaporkan, bapa kanak-kanak berke¬naan, Md Shahri Ahmad Noor, 40 yang bekerja sebagai pernbantu bengkel memohon jasa baik pelbagai pihak bagi mendapatkan sumbangan RM5,000 supaya dapat menampung kos pembelian alat oksigen mudah alih itu.

Kanak-kanak itu mula mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini sejak November 2003.Sejak disahkan menghidapi penyakit berkenaan, kanak-kanak itu juga menerima rawatan oksigen di rumah dengan menggunakan alat bantuan oksigen, ‘oxygen concentrator’ bernilai RM13,500 disumbangkan oleh Lembaga Pemegang Amanah Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan.

Penggunaan alat oksigen mudah alih itu adalah rawatan jangka pendek bagi Nurain kerana untuk terus hidup, kanak-kanak itu difahamkan perlu menjalani pembedahan pemindahan organ dengan kos pembedahan kira-kira RM1.7 juta (AS$500,000) bagi pemindahan di hospital luar negara.