MUAR: Seramai 700 murid sekolah rendah agama dan sekolah menengah agama, menjadi pelapis Briged Al Ansar peringkat Parlimen Ledang iaitu pasukan sukarelawan Islam yang ditubuhkan untuk membantu masyarakat terutama apabila berlaku bencana alam.
Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 3,500 murid dan pelajar seluruh daerah di negeri ini, yang menyertai briged itu sejak ia ditubuhkan awal Januari lalu.
Majlis perasmian Briged Al Ansar itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Dataran Bistari, Kampung Sagil Parit Tiga, di sini, Sabtu lalu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Zainal Abidin Osman; Pengarah Jabatan Agama Johor (JAJ), Datuk Zalil Baron; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Asmail Kadir.
Pada majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Johor (Maij) kepada 10 penerima bantuan daerah Ledang yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan peniaga kecil.
Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, idea penubuhan briged bagi membantu masyarakat ketika menghadapi bencana alam dan kecemasan itu susulan daripada kejadian banjir teruk yang melanda Johor pada akhir 2006 dan Januari tahun lalu.
Katanya, briged itu yang sudah dilancarkan pada peringkat negeri dirancang supaya turut mempunyai keahlian di setiap kawasan Parlimen bagi menarik lebih ramai penyertaan untuk memudahkan usaha menyalurkan bantuan dijalankan.
"Ketika banjir teruk melanda Johor, saya melihat ramai sukarelawan yang tampil memberi bantuan termasuk daripada pertubuhan Kristian dan Buddha yang turut sama membantu mangsa banjir dan ia menyebabkan timbul idea supaya sukarelawan Islam turut diwujudkan bagi tujuan sama," katanya.
Katanya, selain membantu kegiatan sukarelawan, objektif briged itu ialah bagi membimbing generasi muda supaya membabitkan diri dalam kegiatan sukarelawan, memupuk nilai murni sejak kecil lagi dan membina jati diri bagi menghadapi cabaran global.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha murni yang dilakukan bagi membantu masyarakat terutama ketika menghadapi bencana alam dan berharap program itu dapat melahirkan modal insan yang cemerlang.
Sumber: Berita Harian
|