Tabung Haji Johor serah zakat RM2.9 juta (Petikan Akhbar Utusan Malaysia 7 Feb 2008)
JOHOR BAHRU 7 Feb. - Tabung Haji Johor menyerahkan wang zakat perniagaannya bagi tahun lalu sebanyak RM2.9 juta kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).
Pengarah Tabung Haji Johor, Sharif Endut memberitahu, jumlah zakat itu mencatatkan peningkatan sebanyak RM800,000 berbanding sebanyak RM2.1 juta pada tahun 2006.
''Perolehan zakat itu ialah mengikut kadar jumlah caruman pendeposit yang kini berjumlah 693,882 orang dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 38 peratus jika dibandingkan tahun 2006 iaitu 671, 345 orang," katanya pada majlis penyerahan wang zakat itu di Pejabat Tabung Haji, di Jalan Ayer Molek, di sini semalam.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Ekskutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail menyerahkan wang zakat tersebut kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang mewakili MAIJ.
Kata Sharif, jumlah zakat tersebut merupakan ketiga tertinggi di negara ini selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan. |