Tajuk : Tujuh warga miskin, OKU terima zakat

(Petikan Utusan Malaysia 7 Mac 2008)
JOHOR BAHRU 7 Mac - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) semalam menyerahkan bantuan zakat kepada tujuh warga miskin dan orang kurang upaya (OKU) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Zalil Baron berkata, dua penerima yang cacat anggota menerima sebuah kerusi roda khas dan motosikal beroda tiga manakala seorang penerima yang cacat pendengaran diberi alat bantuan pendengaran pada majlis itu.

''Selain itu, seorang penerima yang cacat penglihatan menerima bantuan pembinaan rumah, seorang wanita menerima bantuan rawatan hemodialisis dan seorang jururawat desa pula menerima perubatan untuk suami yang koma akibat kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang zakat perniagaan syarikat Petronas Dagangan Bhd. di Persada Johor di sini kelmarin.

Pada majlis itu, Pengurus Wilayah Selatan syarikat itu, Nik Mohamerdeka Muhammad Yusof menyerahkan wang zakat syarikatnya bagi tempoh setahun yang berjumlah RM353,114.02 kepada Zalil yang mewakili MAINJ.

Zalil memberitahu, bantuan itu diharapkan dapat mengurangkan bebanan kewangan dan penderitaan penerima zakat tersebut yang merupakan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Sementara itu, ibu kepada seorang penerima bantuan, Jamilah Mahmud, 32, berkata, keluarganya bersyukur kerana menerima bantuan kerusi roda yang memudahkan pergerakan anaknya, Mohd. Shahril Mohd. Irwan, 7.

''Kerusi roda ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh kami sekeluarga kerana ia membantu anak saya untuk lebih berdikari,'' katanya yang menambah anaknya itu mengalami kecacatan anggota kaki dan tangan sejak berusia lima tahun.

Tokiman Radam, 45, bapa kepada Muhammad Izzat Hazariz, 8, yang mendapat bantuan alat bantu pendengaran, berkata, dia berharap alat itu dapat membantu anaknya berkomunikasi seperti kanak-kanak lain.

''Doktor memberitahu peluang untuk Muhammad Izzat Hazariz berkomunikasi adalah cerah dengan bantuan alat pendengaran itu,'' katanya yang bersyukur kerana menerima bantuan alat tersebut.

Seorang bapa, Rahmat Tahir, 53, yang mewakili anaknya Norhana Rahmat, 20, yang merupakan pelajar tahun dua jurusan perubatan di Universiti Zaqaziq, Mesir, berkata, sumbangan itu dapat meringankan beban membiayai kos pengajian pelajaran anaknya.

''Nurhana akan tamat pengajiannya empat tahun lagi yang tidak menerima mana-mana tajaan atau pinjaman maka pembiayaan pinjaman ini cukup membantu dan memberi semangat kepadanya,'' katanya.