Tajuk :'MAIJ banyak bantu kami'

JOHOR BAHRU 8 Jun - Masyarakat Orang Asli Simpang Arang di sini tidak pernah terpinggir dalam arus pembangunan dan apa yang lebih mendamaikan masyarakatnya ialah cahaya hidayah untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam.

Lebih 10 tahun lepas, terdapat kira-kira 100 orang Asli daripada kaum Seletar memeluk Islam dan kini jumlah tersebut bertambah kepada lebih 300 orang.

Ketua kampungnya, Tok Batin Lan bin Beting, 64, berkata, penghayatan ajaran Islam dengan bimbingan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memberi mereka ketenangan selain membantu mencapai pelbagai kejayaan.

Beliau telah memeluk agama Islam sejak tahun 1985 bersama-sama 100 orang yang lain berkata, ekoran kegiatan dakwah berterusan kini terdapat 300 orang di kampung tersebut yang beragama Islam.

Lan bersyukur kerana masyarakat itu sering diberi perhatian oleh kerajaan termasuk dibantu dengan pelbagai kemudahan dan sumbangan.

Ujarnya, sejak memeluk Islam, penduduk sentiasa mendapat bimbingan daripada MAIJ bagi mendalami ajaran Islam dan sentiasa komited untuk melakukan ibadah dan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah.

"Sejak dahulu kami sering mendapat bantuan daripada MAIJ dan beberapa pihak lain malah setiap minggu orang MAIJ akan datang bersolat Jumaat di sini.

"Sebab itulah di kampung ini tidak ada anak-anak yang tercicir dalam pelajaran agama dan mata pelajaran lain, malah terbaru ada seorang pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dapat 8A," katanya ketika ditemui pada majlis berkhatan beramai-ramai, baru-baru ini.

Beliau yang tidak menukar nama kerana sudah selesa dan nama asal berkata, surau kampung tersebut digunakan untuk pelbagai aktiviti umat Islam selain untuk bersolat jemaah.

Selain itu, katanya, terdapat sebuah taman didikan kanak-kanak (Tadika) yang beroperasi manakala sebuah Pusat Tarbiah Islam yang dijangka siap Ogos ini.

Beliau yang menjawat jawatan tersebut sejak 2002 berkata, setiap minggu wakil daripada MAIJ akan datang untuk mengajar agama kepada anak-anak dan orang dewasa masyarakat itu.

Biarpun begitu, ada juga di kalangan penduduk kampung itu yang beragama Buddha atau Kristian.

Bagi seorang penduduk, Jory @ Johari Kasi, 47, selepas mencari beberapa tahun mencari agama untuk memenuhi kekosongan jiwa akhirnya, Islam menjadi pegangan hidupnya sejak 1990.

Katanya, sebelum berkeluarga, dia pernah menganut pelbagai agama bagi mencari keserasian dengan jiwa.

"Ibu bapa saya memang tidak pernah menyekat dalam beragama, sebab itu sebelum mendapat hidayah memeluk Islam, saya telah mencuba pelbagai agama tetapi akhirnya agama Islam yang menerangi jiwa saya," katanya.

Ujar Johari, dia memeluk Islam setelah mendapat petunjuk dalam mimpi dan juga pandangan rakan-rakan sewaktu tercari-cari agama dalam kehidupannya.

"Saya pernah bermimpi sesat dalam sebuah kuil, bila hendak keluar tidak jumpa jalan. Ada sekali saya bermimpi sesat di padang pasir.

"Sewaktu di padang pasir saya ternampak sejadah dan kemudian bertemu dengan seorang lelaki berjubah, lelaki itu yang membimbing saya keluar.

"Apabila saya tanya kepada rakan-rakan tentang mimpi tersebut, mereka kata nilai sendiri. Itu yang membuatkan saya memeluk Islam," kata Jory yang merupakan bapa kepada tiga orang anak.

Sumber: Utusan Malaysia