BATU PAHAT: Majlis Agama Islam Johor (Maij) akan berusaha sebaik mungkin menyelesaikan masalah kelewatan pembayaran elaun yang dialami guru al-Quran di negeri ini.
Antara langkah diambil bagi mengatasi masalah itu ialah dengan mengesan dan mengenal pasti punca kelewatan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Zakat, Baitulmal dan Wakaf Maij, Ahmad Faisal Mohamed, berkata masalah itu boleh diselesaikan dengan merujuknya terlebih dulu ke bahagian Pengurusan Masjid di Jabatan Agama Johor (JAJ).
"Kita di Maij tidak terbabit secara langsung, tetapi hanya bertindak sebagai `penyelia' manakala proses pembayaran yang dilaksana pihak berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihak MAIJ akan berusaha menyelesaikan masalah itu, untuk mengurangkan beban kewangan mereka yang terbabit.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan guru al-Quran di negeri ini yang mendakwa elaun tahun ini belum dijelaskan JAJ.
Kelewatan pembayaran itu didakwa menyebabkan mereka yang bertugas sebagai guru al-Quran sepenuh masa, berdepan pelbagai kesulitan membiayai perbelanjaan dan keperluan harian.
Wakil guru yang enggan namanya disiarkan, berkata sebahagian besar mereka tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, selain elaun bulanan RM500 daripada JAJ itu.
Pada masa ini, dianggarkan terdapat 280 guru al-Quran yang bertugas di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor.
"Saya yakin, sebahagian besar mereka yang terbabit juga belum menerima elaun masing-masing, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.
Beliau berkata, tunggakan elaun tahun lalu sudah dijelaskan kepada guru terbabit sebulan dua yang lalu dan berharap JAJ berusaha menjelaskan elaun tertunggak secepat mungkin.,
Katanya, semua guru terbabit turut diminta mengendali kelas al-Quran di tempat ditetapkan selama enam jam sehari, lima kali dalam seminggu.
"Bagaimanapun, elaun RM500 sebulan yang diberi itu perlu dikaji semula, berikutan peningkatan kos bahan makanan serta minyak, pada masa ini.
"Justeru, kami berharap kerajaan negeri serta JAJ mempertimbangkan kewajaran permintaan kami ini, bagi mengatasi masalah kesempitan dan keperluan hidup masa kini," katanya.
Sumber : Berita Harian
|