JOHOR BAHRU 15 Julai - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM23 juta bagi membina dan membaiki rumah golongan miskin tegar sepanjang tahun ini.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abd. Latiff Yusof berkata, peruntukan tersebut termasuk RM16.7 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan RM2.9 juta daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan RM1 juta oleh Pejabat Menteri Besar Johor.
"Kerajaan negeri melalui Program Pembasmian Kemiskinan negeri Johor menyasarkan sifar miskin tegar menjelang tahun 2010.
"Antara strategi dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri termasuk membaiki rumah yang rosak dan membina rumah baru untuk golongan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran logo Kembara Mahkota Johor 2008 yang disempurnakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.
Abd. Latiff berkata, berdasarkan perancangan, pihaknya akan membaiki sebanyak 686 unit rumah pada tahun ini di seluruh negeri ini.
"Bagi pembinaan rumah baru, kami menjangkakan sebanyak 50 peratus daripada 1,070 rumah dapat dibina pada tahun ini manakala bakinya akan dibina tahun depan," katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah kemiskinan termasuk pengurniaan tanah kepada golongan miskin.
"Masalah kemiskinan ini sememangnya diberi perhatian utama dan usaha akan dilipatgandakan untuk mengatasinya," kata beliau.
Sumber : Utusan Malaysia
|