Tajuk :RM205,000 setiap bulan bantu keluarga miskin

KOTA TINGGI: Sebanyak RM205,000 diperuntukkan setiap bulan oleh beberapa agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor, bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan di daerah ini.

Bantuan itu diagihkan kepada 280 keluarga termasuk yang dikategorikan sebagai miskin tegar serta ibu tunggal.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata walaupun pihaknya sudah memiliki senarai keluarga yang layak menerima bantuan, pemimpin masyarakat di daerah ini tetap diarah supaya memastikan pemantauan berterusan dijalankan.

Langkah itu perlu, bagi memastikan tiada keluarga miskin yang tercicir menerima bantuan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat mencapai sasaran kemiskinan sifar menjelang 2015, bagaimanapun usaha gigih perlu dilaksanakan bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai lebih awal di Kota Tinggi.

"Kita sudah menyenaraikan kumpulan sasaran untuk dibantu bagi memastikan golongan fakir miskin di Kota Tinggi ini keluar daripada masalah yang membelenggu kehidupan mereka selama ini.

"Beberapa program akan diatur oleh agensi berkaitan untuk membantu mereka mengubah taraf hidup selain kerajaan menyediakan bantuan berterusan kepada kumpulan sasar itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kebajikan Kota Tinggi sempena Program Semaian Kasih Parlimen Kota Tinggi, di sini, kelmarin.

Kira-kira 200 fakir miskin, ibu tunggal dan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menerima bantuan wang tunai dan hamper pada majlis itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, selain memberi peluang kepada masyarakat setempat bertemu dan mengemukakan masalah kepadanya, program itu juga diadakan bagi menarik lebih ramai golongan muda untuk menjadi sukarelawan Briged Kebajikan Perdana Kota Tinggi.

"Menerusi program seperti ini serta perhatian berterusan yang kita berikan bagi membantu golongan fakir miskin ini, kita percaya masalah kemiskinan terutama yang termasuk dalam golongan miskin tegar akan dapat kita atasi.

"Memang agak sukar untuk mencapai sasaran kemiskinan sifar, tetapi jika usaha kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh disusuli dengan pemantauan yang berterusan, ia akan membantu usaha kita," katanya.

Katanya, program yang diadakan itu juga memberi peluang golongan yang memerlukan bantuan seperti orang kurang upaya (OKU) mendaftarkan diri untuk mendapatkan bantuan JKM.

Sumber: Berita Harian