Tajuk :Kutipan zakat Maij meningkat 10 peratus

JOHOR BAHRU: Kutipan zakat di negeri ini meningkat sebanyak 10 peratus sepanjang lima tahun lalu berikutan kesedaran masyarakat Islam untuk membayar zakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Zainal Abidin Osman, berkata walaupun pungutan zakat di Johor tidak tinggi seperti di Kuala Lumpur dan Selangor, ia boleh dianggap memuaskan kerana pungutan zakat di negeri ini, masih tidak dikorporatkan.

"Tahun lalu, Majlis Agama Islam Johor (Maij) mengutip sejumlah RM73.321 juta wang zakat, meningkat sebanyak 34 peratus berbanding RM54.73 juta pada tahun sebelumnya," katanya ketika menjawab soalan Abdul Halim Suleiman (BN-Puteri Wangsa) pada sidang dewan negeri, di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, pengurusan zakat di bawah pentadbiran Maij sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk memastikan ia dapat memenuhi keperluan masyarakat daripada segi kemudahan pungutan dan agihan zakat.

Beliau berkata, walaupun sistem zakat di negeri ini, belum dikorporatkan seperti Selangor dan Kuala Lumpur, sistem pengurusannya mencapai tahap penggunaan teknologi maklumat yang tinggi menggunakan sistem komputer.

"Pada 1998, pungutan zakat negeri ini, hanya berjumlah RM23.4 juta tetapi tahun lalu, ia meningkat kepada RM73.3 juta. Agihan yang dilaksanakan dapat membantu kerajaan menangani masalah kemiskinan dan juga pembangunan syiar Islam di Johor," katanya.

Zainal Abidin berkata, Maij berhasrat mengutip zakat sehingga RM200 juta dan RM170 juta seperti yang di Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi ia akan dilaksanakan dengan sistematik.

Mengulas fungsi dan struktur Maij serta dan Jabatan Agama Johor (Jaj), beliau berkata, Maij bertanggungjawab sebagai pentadbir yang mengurus urusan zakat, Baitulmal dan wakaf iaitu pemegang amanah terhadap setiap harta dan kumpulan wang yang ada.

"JAJ pula berperanan sebagai pelaksana dasar yang digubal Maij. JAJ bertanggungjawab melaksana urusan berkaitan penguatkuasaan undang-undang syarak, dakwah, pendakwaan jenayah syariah dan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata, perkongsian pentadbir di peringkat atasan antara Maij dan JAJ adalah mengikut ketetapan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003, yang mana Pengarah JAJ juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Maij.

Sumber : Berita Harian