Tajuk :MAIJ Urus ditubuh kendali dana baitulmal

JOHOR BAHRU 13 Jun -Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menubuhkan syarikat MAIJ Urus Sdn. Bhd., yang bertujuan menguruskan harta dan tanah milik baitulmal secara lebih sistematik.

Pengarah MAIJ, Datuk Zalil Baron berkata, pihaknya yakin dengan penubuhan syarikat itu, semua sumber baitulmal dapat diuruskan secara lebih berdaya saing.

"Kita menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap Pengurus MAIJ Urus Sdn. Bhd., Mohidin Yahya Shamsuddin untuk mengurus ekonomi, membuat pelaburan dan menjalankan perniagaan terhadap aset yang kita ada," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, setelah syarikat itu ditubuhkan lebih enam bulan lalu, pihaknya berbangga apabila Mohidin berjaya menggerakkan dan seterusnya berjaya menubuhkan Pusat Hemodialisis MAIJ Urus di Bangunan Wakaf MAIJ, di Kampung Pasir, di sini yang mula beroperasi 2 Jun lalu.

Zalil berkata, lebih membanggakan pusat tersebut bukan sahaja mempunyai pusat dialisis, malah dilengkapi pusat rawatan dan dalam tempoh terdekat ini akan menjadi pusat latihan jururawat dan pembantu jururawat.

Beliau berkata, pusat dialisis seumpamanya akan dikembangkan ke Batu Pahat, Muar dan Kota Tinggi dalam tempoh dua tahun lagi dengan matlamat setiap daerah akan memiliki pusat itu pada masa akan datang.

Katanya, MAIJ Urus juga sedang menimbang untuk menubuhkan Pusat Bersalin MAIJ di Bandar Baru Uda yang akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar bandar raya ini.

"Berdasarkan pengamatan keperluan dan permintaan terhadap pusat itu memang tinggi kerana kesedaran tentang rawatan mengikut Islam amat tinggi di kalangan masyarakat masa ini.

"Kita juga mengambil kira daripada segi perniagaan yang menekankan soal halal di mana kita akan membuka kedai halal yang dikenali Halal Mart dengan premis pertama akan diwujudkan di Bandar Baru Uda," katanya.

Zalil berkata, pihaknya telah mengarahkan Mohidin membuat tinjauan secara terperinci mengenai keperluan, permintaan dan mengenal pasti lokasi-lokasinya.

Tambahnya, menerusi MAIJ Urus juga pihaknya mahu tanah-tanah wakaf milik baitulmal yang ada di seluruh negeri ini dibangunkan demi faedah umat Islam.

Selain itu, pihaknya akan meneruskan bantuan berdikari di kalangan golongan miskin bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan dan seterusnya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

"Dalam hal ini kita beri mereka bantuan daripada segi modal, latihan, rangkaian serta bantuan sokongan lain bagi membolehkan mereka terus berdaya saing dalam apa juga keadaan," katanya.