JOHOR BAHRU 15 Jun - Para pesakit buah pinggang yang menerima bantuan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) gembira dengan langkah jabatan itu menerusi MAIJ Urus Sdn. Bhd. menubuhkan Pusat Hemodialisis MAIJ Urus yang mampu menampung lebih ramai pesakit.
Menurut mereka, kewujudan pusat yang serba lengkap itu telah memberi harapan baru kepada pesakit buah pinggang untuk meneruskan kehidupan dengan penuh yakin.
Seorang pesakit buah pinggang, Moli Abdullah, 58, berkata, dia amat bersyukur dan gembira menerima rawatan di pusat itu berikutan kemudahan serta rawatan yang diberikan amat memuaskan.
"Saya telah menjalani rawatan dialisis sejak enam tahun lalu dan sebelum ini melakukannya di beberapa tempat swasta yang agak jauh dari rumah saya.
"Kini untuk sampai ke pusat ini hanya mengambil masa kira-kira 10 minit di mana saya perlu sampai ke pusat ini pada pukul 6.30 pagi dan siap rawatan sekitar 11 pagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Moli yang tinggal di Bukit Mewah berkata, jururawat dan pembantu jururawat serta kakitangan sokongan yang diketuai Jururawat Kanan, Fauziah Atan memberi perkhidmatan yang mesra dan sering memberi semangat untuk menempuhi kehidupan masa depan.
Begitu juga dengan Bechik Abdul Kadir, 54, dari Taman Sri Pulai yang menyifatkan kewujudan pusat itu telah meringankan bebannya bukan sahaja menghadapi kesakitan yang dialami malah daripada segi kewangan.
Selama ini katanya, dia mendapatkan rawatan dialisis dari pusat swasta dan terpaksa menanggung kos sekitar RM2,400 sebulan untuk menampung kos itu.
"Syukur alhamdullilah yang tidak terhingga apabila permohonan saya untuk mendapatkan rawatan di pusat ini diterima dan kos rawatan pula 100 peratus ditanggung MAIJ," katanya.
Bagi Rosli Tirek, 41, yang juga bapa kepada enam anak, rawatan yang diterima menerusi pusat ini benar-benar meringankan bebannya.
"Cuba bayangkan dalam satu bulan saya kena menjalani rawatan dialisis sekitar 13 kali dan kos yang perlu dibayar ialah sekitar RM2,500 sebulan tetapi kini segala-galanya percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh MAIJ," katanya.
Katanya, langkah MAIJ Urus itu tepat pada waktunya terutama sekali dalam keadaan yang amat mencabar ekoran kenaikan harga barangan yang menyebabkan seluruh masyarakat berasa tertekan.
Jelas Rosli, berikutan kos rawatan yang ditanggung sepenuhnya oleh MAIJ maka pendapatannya yang tidak menentu boleh ditumpukan untuk menyara keperluan harian dan persekolahan anak-anak. |