JOHOR BAHRU 16 Jun - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menerima kutipan zakat perniagaan berjumlah RM2.3 juta daripada tiga syarikat tempatan untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang layak menerimanya.
Pembayaran zakat terbanyak ialah daripada Bank Rakyat sebanyak RM2.2 juta yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Ahmad Badri Mohd. Zahir kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Zainal Abidin Osman di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.
Dua lagi syarikat ialah Pos Malaysia Johor sebanyak RM61,030 yang disampaikan oleh Pengerusinya, Abdul Shahri Jikun dan Eoncap Islamic Bank Bhd., sebanyak RM50,585 yang disampaikan oleh Pengurus Cawangan Eon Bank Berhad Permas Jaya, Johari Muslim.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ, Datuk Zalil Baron dan Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut.
Sempena majlis pembayaran zakat perniagaan itu, Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Johor turut mengumumkan bantuan kepada empat penerima.
Mereka ialah Nazariah Ali, 26, dan adiknya, Siti Zaleha, 17, bernilai RM7,015 setiap seorang untuk pembelian kanta pembesar.
Sementara itu tukang jahit, Noreha Sairan, 41, menerima bantuan sebanyak RM3,700, untuk pembelian dua buah mesin jahit.
Seorang lagi penerima ialah Raimah Osman, 57, yang menerima bantuan sebanyak RM1,950 sebulan untuk membiayai kos rawatan dialisis sebanyak 13 kali sebulan.
Nazariah yang kini merupakan guru sandaran di Sekolah Menengah Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur berkata, dia perlu menggunakan kanta pembesar kerana penglihatannya kabur.
Anak kedua daripada empat beradik yang juga lepasan Ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir itu berkata, matanya kabur akibat penyakit saraf.
"Saya memang tidak boleh menggunakan cermin mata atau menjalani pembedahan kerana ia boleh memudaratkan. Untuk memudahkan penglihatan, saya perlu bergantung kepada kanta pembesar," katanya.
Dia yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam dan Sivik bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga itu berharap akan mendapat pekerjaan tetap dalam waktu terdekat.
Selain Nazariah dan adiknya Siti Zaleha, pelajar Sekolah Menengah Seri Pinang, Bandar Tenggara yang mengalami nasib yang sama, dua lagi adik-beradik mereka turut mengalami masalah penglihatan.
Siti Zaleha yang merupakan anak bongsu berkata, kesemua adik-beradiknya mengalami masalah saraf sejak lahir.
Dia yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagaimanapun mengakui tidak menghadapi masalah sewaktu pembelajaran di kelas.
"Semasa dalam kelas, kawan banyak membantu untuk membaca apa yang ditulis cikgu di papan hitam," katanya. |