Tajuk :MAIJ raih RM1.73 juta hasil sewaan hartanah

JOHOR BAHRU Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM1.73 juta setahun daripada hasil sewaan 232 unit rumah kediaman dan rumah kedai di seluruh negeri ini.Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Zainal Abidin Othman berkata, pembelian hartanah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha MAIJ untuk meningkatkan pemilikan harta orang Islam di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, 95 unit rumah kedai dimiliki di Johor Bahru, Muar (32), Batu Pahat (42), Kota Tinggi (12) Segamat (18) dan Pontian (33).

"Keseluruhan rumah kedai ini memberi hasil sewaan sejumlah RM1.73 juta," katanya menjawab soalan Datuk Baderi Dasuki (BN-Panti) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, di sini semalam.

Menurut Zainal Abidin, MAIJ melalui Baitumal membeli hartanah terbabit untuk dijadikan sumber ekonomi dalam membiayai program-program yang dilaksanakan.

Beliau memberitahu, pelaburan dalam bentuk pembelian aset itu dilakukan dengan berhati-hati dan turut merangkumi faktor lokasi yang strategik, jangkaan pulangan hasil dan beban penyelenggaraan.

"Penubuhan MAIJ Urus Sdn. Bhd., yang menguruskan Pusat Hemodialisis MAIJ adalah antara bentuk pelaburan baru yang akan memberi pulangan kepada MAIJ dalam bentuk kewangan di samping menjalankan tanggungjawab sosialnya,'' katanya

Sumber : Utusan Malaysia