Tajuk :179 mangsa ribut terima bantuan MAIJ

JOHOR BAHRU 25 Jun - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menyumbang bantuan segera berupa wang dan barang keperluan lain bernilai RM23,270 kepada 179 keluarga termasuk 16 keluarga Orang Asli yang menjadi mangsa ribut Rabu lalu, di beberapa kampung di sekitar Masai dekat sini.

Setiap keluarga menerima wang tunai RM100 dan sebuah hamper barangan keperluan seperti biskut dan makanan lain.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai di Kampung Cahaya Baru, dekat sini petang semalam.

Maulizan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri berharap, sumbangan yang diterima itu mampu meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa ribut terbabit.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membuat bancian bagi mengenal pasti kerugian dan bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

''Ini merupakan sumbangan pertama yang diterima oleh mangsa ribut di Masai dan merupakan yang paling cepat diterima oleh mereka,'' katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, lebih 100 buah rumah dan kedai di sekitar Masai, rosak dipukul ribut yang melanda kira-kira pukul 4.30 petang.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Antara kampung yang terlibat adalah Taman Scientex, Kampung Cahaya Baru, Kampung Sentosa dan Kampung Telok Jawa.

Pada majlis tersebut, JKM turut memberikan sumbangan pembaikan rumah mengikut kadar kerosakan iaitu antara RM100 hingga RM1,000 kepada setiap keluarga.

Sementara itu, seorang suri rumah, Ruminam Jamari, 54, berkata, sumbangan yang diterima itu akan digunakan untuk membaiki kerosakan bumbung rumahnya.

''Setakat ini, saya sudah belanja RM100 untuk membaiki bumbung yang rosak,'' katanya.

Seorang pesara, Manan Othman, 58, pula memberitahu, wang itu akan digunakan untuk membaikpulih bumbung rumahnya yang kini hanya ditutup dengan plastik kanvas.

''Saya ucap terima kasih kerana bantuan yang diharapkan cepat sampai untuk membantu kami membaiki kerosakan,'' ujarnya.

Seorang lagi suri rumah, Mislah Hasim, 49, berkata, sumbangan tersebut akan digunakan untuk menampung kos pembaikan yang mencecah RM1,000 yang melibatkan kerosakan bumbung dan sebahagian ruang tamu rumahnya.

''Terima kasih kepada pihak yang prihatin terhadap kesusahan kami kerana sudi menghulurkan bantuan,'' katanya.