JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Johor (Maij) melalui anak syarikatnya Maij Urus Sdn Bhd menerbitkan buku bertajuk 'Sejarah Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor', yang merakamkan secara menyeluruh sejarah pentadbiran institusi agama negeri ini sejak sebelum merdeka.
Buku yang sesuai untuk rujukan semua itu mengandungi 13 bab menjelaskan secara terperinci sejarah perkembangan agama Islam dan semua institusi agama yang terdapat di negeri ini, seperti Maij, Mahkamah Syariah, Mufti, Sekolah Agama, Kolej Agama Islam Johor (Marsah), masjid dan surau serta Lembaga Penerbitan.
Buku yang dikarang oleh Abdul Latif Jufri @ Al-Jufri itu mendedahkan bagaimana Johor menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki Undang-undang Tubuh Kerajaan pada 1895, yang diambil daripada Undang-undang Syariah Turki (Ahkam Syariah).
Buku itu juga secara eksklusif memaparkan biografi 11 Mufti negeri sejak 1873 dan juga arahan Perdana Menteri yang meminta Menteri Besar Johor memberi taklimat ke seluruh negara berhubung Sistem Pendidikan Agama Johor yang tersusun sejak 1918., berkata inisiatif mengarang buku itu sudah beliau lakukan sejak 1993, iaitu sejak mula bekerja di Jabatan Agama Islam Johor (Jaj).
Buku itu turut memuatkan arahan Perdana Menteri supaya Jakim merujuk negeri Johor dalam hal ehwal pentadbiran dan pengurusan masjid serta surau.
Abdul Latif berkata, usahanya mengumpul bahan itu akhirnya mendapat perhatian dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman kemudian mengarahkan supaya ia diterbitkan menjadikannya buku seumpama itu yang pertama diterbitkan di negara ini.
Beliau berkata, dengan kerjasama bekas Pengarah Maij, Jainal Sakiban, yang bekerja selama 27 tahun di Jaj, beliau dapat mengumpul banyak bahan dan dokumen penting, termasuk yang belum pernah didokumentasikan sebelum ini.
“Sumber dan rujukan utama saya adalah Warta Jabatan Agama (terbit sejak 1950), rekod perjawatan dan laporan tahunan Jaj, buku sejarah, kertas kerja dan teks ucapan Sultan dan Menteri Besar serta Exco kerajaan Johor,” katanya yang memperoleh koleksi gambar lama daripada majalah Kalam, yang diterbitkan sejak 1950 dan Arkib Negara cawangan Johor.
Abdul Latif berkata, usaha terakhir melengkapkan buku itu disiapkan selama dua bulan bermula Julai hingga Ogos tahun lalu.
Petikan : Berita Harian
|